Agihan pendapatan RM650.73 juta untuk ASM 3, ASN Equity 5, ASN Sara 2
AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), hari ini mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM650.73 juta untuk dana unit amanah harga tetap Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3) serta dana harga berubah, ASN Equity 5 dan ASN Sara (Mixed Aset Conservative) 2 (ASN Sara 2) (ASN Sara 2) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2021.
ASM 3, salah satu daripada enam dana harga tetap yang diuruskan oleh ASNB, mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM593.04 juta yang memanfaatkan 525,038 pemegang unit dengan pegangan 14.83 bilion unit. ASM 3
ASM 3 mencatatkan pendapatan direalisasikan bersih sebanyak RM653.27 juta bagi tahun kewangan semasa, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 17.87% berbanding tahun lalu.
Pulangan sebanyak 4.00 sen seunit ini kekal kompetitif dan mengatasi penanda aras pulangan Deposit Tetap 12-bulan Maybank pada kadar 1.85% sebanyak 215 mata asas bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2021.
ASN Equity 5 dan ASN Sara 2 mencatatkan jumlah pulangan masing-masing sebanyak 11.46% dan 4.04% untuk tahun kewangan berakhir 30 September 2021, yang telah mengatasi penanda aras masing-masing sebanyak 8.66% dan 1.73%.
Pulangan ini ditanda aras berbanding Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia (FBM 100) dan Deposit Tetap 12 bulan Maybank, pada nisbah yang disesuaikan untuk setiap dana.
Dalam tempoh yang sama, FBM KLCI mengukuh sebanyak 2.79% daripada 1,504.82 mata kepada 1,546.82 mata berikutan prestasi yang tidak menentu akibat peningkatan kes harian Covid-19 yang menyebabkan perintah kawalan pergerakan ketiga.
Walau bagaimanapun, pasaran global menunjukkan prestasi yang lebih baik apabila MSCI All Country World Index (MSCI ACWI) meningkat 29.0% dalam tempoh yang sama, didorong oleh pembukaan semula
ekonomi global berikutan pengagihan vaksin menunjukkan kemajuan.
Dengan pulangan ini, ASNB mengisytiharkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM9.80 juta kepada pemegang unit ASN Equity 5, yang bersamaan dengan 2.85 sen seunit kepada 11,202 pemegang unit dengan pegangan 343.80 juta unit.
Manakala, pemegang unit ASN Sara 2 akan menerima jumlah pembayaran agihan pendapatan sebanyak RM47.88 juta, bersamaan dengan 2.80 sen seunit kepada 42,860 pemegang unit dengan pegangan 1.71 bilion unit.
Pulangan ini adalah bersamaan dengan hasil dividen sebanyak 2.95% untuk ASN Equity 5 dan 2.75% untuk ASN Sara 2, berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB) dana pada 23 September 2021.
Pengagihan pendapatan ini diperoleh daripada dana keuntungan direalisasi, dividen dan pendapatan lain daripada pelaburan tempatan dan antarabangsa yang secara amnya didorong oleh pemulihan pasaran kewangan global dan domestik secara beransur-ansur.
Pendapatan daripada pelaburan antarabangsa meningkat secara ketara dengan sumbangan di antara 32% dan 73% untuk dana masing-masing bagi tahun kewangan semasa. Kesan positif dari inisiatif kepelbagaian yang dilakukan menerusi Pelan Strategik Jangka Panjang PNB terbukti dengan peningkatan prestasi kedua-dua dana ini, membuktikan komitmen tinggi institusi tersebut untuk memberikan pulangan mampan yang berterusan kepada pemegang unitnya.
Pengiraan Pengagihan Pendapatan dan Penangguhan Urus Niaga Dana Pengagihan pendapatan bagi ASM 3 dikira berdasarkan purata baki minimum bulanan sepanjang tahun kewangan, manakala untuk ASN Equity 5 dan ASN Sara 2, pengiraan berdasarkan jumlah unit yang dimiliki pada hujung tahun kewangan dana tersebut.
Pengagihan pendapatan yang diumumkan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun
pemegang unit dan dikreditkan secara automatik pada 1 Oktober 2021 untuk ASM 3, dan pada 2 Oktober 2021 untuk ASN Equity 5 dan ASN Sara 2.
Urus niaga di semua cawangan dan ejen ASNB seluruh negara telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 23 hingga 30 September 2021 untuk ASM 3 dan dari 29 September hingga 1 Oktober 2021 untuk ASN Equity 5 serta ASN Sara 2 bagi memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan.
Pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka di www.myasnb.com.my, melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan ASNB atau ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 Oktober 2021 untuk ASM 3, dan 2 Oktober 2021 untuk ASN Equity 5 dan ASN Sara 2.