Rencah Hidup

Agensi umrah benarkan pondan berpakaian wanita bersubahat perkara mungkar

AGENSI yang ingin membawa golongan pondan atau mak nyah mengerjakan ibadah di kota suci Mekah dan Madinah perlu memastikan kumpulan tersebut melaksanakannya berdasarkan hukum jantina asal iaitu sebagai seorang lelaki.

Menurut pendakwah Syed Shahridzan Syed Mohamed, agensi umrah yang tidak menitik beratkan syarat-syarat tersebut bermakna pihak tersebut telah bersubahat atas perkara mungkar yang dibiarkan berlaku di kedua-dua tanah suci umat Islam.

Menurut beliau, tindakan agensi tersebut merupakan satu penghinaan yang dilemparkan ke atas kedua-dua tanah haram yang mulia itu dan boleh menyebabkan nama baik agensi berkenaan tercemar.

“Jika mana-mana agensi umrah tidak menitik beratkan syarat-syarat tersebut atau membiarkan mereka beraksi sama seperti keadaan mereka di tanah air iaitu seperti perempuan, maka ini bermakna pihak agensi telah bersubahat atas perkara mungkar yang dibiarkan berlaku di tanahsuci.

“Peringatan dari saya kepada pihak agensi jika kelakuan mungkar ini jika tidak dibendung atau dibiarkan ia akan menjadi penyebab reputasi dan nama baik agensi itu tercalar, malah akan menerima kecaman dari orang ramai,” kata Syed Shahridzan.

Beliau mengulas laparon berita mengenai seorang usahawan kosmetik terkenal daripada golongan pondan mengerjakan umrah.

Melalui gambar yang dikongsi di media sosial usahawan bertaraf jutawan tersebut memakai pakaian wanita dan menjalankan ibadah sebagai seorang wanita.

Menurut Syed Shahridzan, hukum seorang pondan yang mahu mengerjakan ibadah umrah adalah harus dan mereka layak untuk mengerjakan ibadah umrah selagi mereka seorang muslim.

Pun begitu, menurut Syed Shahridzan, syarat yang wajib ditunaikan peserta dari golongan mak nyah adalah mereka wajib mengerjakan umrah berdasarkan hukum asal jantina iaitu sebagai lelaki dan bukan sebagai wanita.

“Mereka bukan sahaja hanya wajib berihram seperti lelaki malah wajib berpakaian lelaki di Mekah dan Madinah demi menghormati kesucian kedua-dua Tanah Haram.

“Mereka tidak boleh berpakaian seperti perempuan walaupun bertudung atau bertelekung,” kata Syed Shahridzan yang juga Setiausaha Agung Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI).

Jelas Syed Shahridzan, untuk mengelakkan payudara tiruan golongan tersebut kelihatan ketika memakai kain ihram maka mereka diwajibkan memakai kain bengkung yang tidak berjahit.

Golongan mak nyah tersebut juga wajib mengerjakan ibadah di ruang solat lelaki, begitu juga tandas yang ingin digunakan mestilah tandas lelaki.

Bahkan agensi yang membawa golongan tersebut wajib memastikan bilik penginapan mereka tidak boleh bercampur dengan wanita tulen.-SM

 

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button