Ekonomi

Malaysia catat aliran keluar dana lebih RM400 juta akibat koronavirus

Oleh BERNAMA

PELABUR asing menjadi penjual bersih di dalam pasaran ekuiti tempatan bagi minggu ini, mencatatkan aliran keluar RM409.14 juta bagi tempoh 28 hingga 30 Jan berbanding aliran masuk bersih RM23.48 juta dari 20 hingga 23 Jan lalu.

Ketua pakar ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ini susulan laporan mengenai wabak koronavirus yang terus menjadi perhatian semua.

“Purata kadar penyertaan institusi asing dan tempatan masing-masing pada 19.45% dan 44.91% berbanding 18.4% (institusi asing) dan 54% (institusi tempatan) bagi tempoh sama pada minggu sebelumnya,” katanya kepada Bernama.

Institusi tempatan merekodkan jualan bersih bernilai RM115.73 juta pada 28 hingga 30 Jan lalu berbanding jualan bersih bernilai RM48.51 juta pada 20 hingga 23 Jan lalu.

Sementara itu, aliran dana bersih bagi runcit tempatan mencatatkan belian bersih bernilai RM293.41 juta dengan purata penyertaan 35.64% pada 28 hingga 30 Jan berbanding belian bersih RM25.03 juta dengan purata penyertaan sebanyak 27.97% bagi tempoh 20 hingga 23 Jan.

Afzanizam berkata, pasaran kekal berhati-hati terhadap impak koronavirus memandangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak itu sebagai darurat kesihatan global.

Bagaimanapun, WHO memuji usaha pihak berkuasa China berkongsi maklumat mengenai tahap penularan wabak itu.

“Secara ringkasnya, ia merupakan mod risiko sepanjang minggu.”

Ketua Pakar Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes berkata, keadaan negatif dalam penjualan berlaku apabila kebimbangan (mengenai koronavirus) mempengaruhi peniaga pasaran memandangkan mereka pantas melepaskan nisbah modal masing-masing.

“Terdapat beberapa kesukaran bagi aliran masuk di rantau ini minggu ini, namun jika insiden penularan wabak itu mulai lemah pada minggu depan, saya menjangkakan pasaran akan mengalami pembelian untuk mendapatkan hasil, terutama bagi ekuiti dan bon di bawah nilai, sekiranya Rizab Persekutuan Amerika Syarikat memberi petunjuk bagi kadar faedah rendah.”

Beliau berkata jika penularan koronavirus reda secara ketara, aliran masuk dana ke pasaran seperti Korea Selatan, Malaysia dan Australia ialah pilihan utama untuk minggu depan memandangkan negara ini antara rakan dagang terbesar China.

“Selain itu, penstabilan yuan China berbanding dolar AS yang telah diniagakan di bawah RMB7 berbanding AS$1 juga petanda baik untuk pasaran ini.”

(Visited 93 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button