Nasional

AEON Shah Alam mohon maaf halau mangsa terkandas

BARU-BARU ini telah tular isu yang mendakwa pihak AEON Shah Alam telah menghalau sebilangan mangsa yang terkandas dan berteduh ketika hujan lebat melanda.

Berdasarkan ciapan Twitter yang tular, mangsa yang terlibat dikatakan telah dihalau oleh pengawal keselamatan dan pihak pengurusan membeli-belah tersebut sehingga terpaksa kembali berteduh di dalam kenderaan masing-masing.

Malah terdapat juga yang terpaksa bermandikan hujan kerana tiada tempat untuk dituju.

Syarikat peruncitan, Aeon Co. (M) Bhd. (AEON) telah membuat permohonan maaf secara terbuka di atas segala kekurangan daripada pihaknya menangani situasi tersebut.

Berdasarkan kenyataan yang dikongsikan di Facebook AEON, syarikat itu menjelaskan bahawa pihaknya dalam keadaan tidak bersedia menghadapi situasi tersebut.

“Kami memohon maaf seikhlas hati di atas segala kekurangan dari pihak kami dalam menangani situasi tersebut.

“Kami ambil maklum akan kelemahan kami dan kami ambil iktibar serta belajar darinya.

“Kami sedar adalah tidak mudah untuk memuaskan hati semua pihak apatah lagi dengan bilangan yang besar dalam keadaan kami yang tidak bersedia namun begitu, kami akan cuba pertingkatkan keupayaan kakitangan kami,” katanya.

Syarikat tersebut juga memberi alasan, kakitangan AEON tidak mempunyai kemahiran atau pengalaman untuk mengendalikan operasi sebegitu.

Bagaimanapun pihaknya berusaha dengan sepenuh hati dalam menghulurkan bantuan kepada pelanggan yang terkandas.

AEON turut menjelaskan bahawa pihaknya tidak menyedari situasi sebenar banjir kilat yang berlaku di kawasan Shah Alam dan sekelilingnya yang sangat kritikal pada waktu itu.

Setelah menerima banyak pertanyaan, sekitar pukul 9.40 malam pihak AEON membuat keputusan untuk membenarkan para pelanggan, kakitangan dan penyewa untuk berlindung di dalam premis sehingga keadaan bertambah baik.

Pihak AEON Shah Alam telah menyantuni 570 orang pelanggan yang terkandas disebabkan oleh banjir di Shah Alam pada 18 Disember 2021. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button