Ekonomi

Adya Hotel: Destinasi percutian mendamaikan di Langkawi

MUSIM cuti persekolahan bagi tahun 2019 telah berakhir.

Bagi mereka yang berkemampuan pasti ramai yang menyimpan kenangan dapat bercuti bersama ahli keluarga dan rakan samada dalam negara mahupun luar negara.

Ada juga yang agak skeptikal apabila dibelenggu oleh kewangan yang tidak mengizinkan untuk membawa keluarga bercuti.

Kuncinya bergantung kepada faktor bajet, semua impian percutian itu dapat direalisasikan jika ia dirancang dengan lebih awal khususnya tabungan.

Bagi yang suka membuat perancangan percutian bagi musim cuti persekolahan akan datang, apa kata anda berkunjung ke Pulau Langkawi dengan memilih  Adya Hotel sebagai kemudahan penginapan sepanjang bercuti di sana.

Hotel yang terletak di Kuah di pulau bersejarah itu menawarkan kemudahan yang lengkap selain berkonsepkan patuh syariah yang membuatkan suasana damai, tenang dan harmoni bakal dikecapi sepanjang berada di premis berkenaan.

Adya Hotel mula beroperasi pada tahun 2015 dan ia dikenali sebagai hotel berkonsepkan patuh Syariah yang mana banyak kemudahan yang disediakan bersesuaian untuk pelancong muslim bukan sahaja domestik tetapi juga dari luar negara.

Menurut Pengurus Besarnya, Razmi Rahmat, hotel bertaraf empat bintang itu banyak mencatat sejarah tersendirinya tatkala ia mula beroperasi kerana bersandarkan idea daripada Mantan Menteri Besar  Kedah, Almarhum Tan Sri Uztaz Azizan Abdul Razak.

“Hotel ini merupakan hotel pertama yang memiliki kolam renang untuk Muslimah yang tertutup, hotel yang memiliki balkoni dengan menawarkan pemandangan cantik dengan lautan yang terbentang luas serta bubble lif di Langkawi.

“Meskipun ada yang bersikap skeptikal ketika ia mula dibuka kerana tidak menjual arak di hotel sedangkan harga minuman tersebut begitu murah dan senang didapati di Langkawi, namun kunjungan pelanggan semakin bertambah sehingga ke hari ini.

“Malah pelancong luar negara yang pertama kali menginap di hotel ketika ia mula beroperasi juga adalah dari Eropah,” katanya ketika ditemu bual di pejabatnya baru-baru ini.

Razmi yang memiliki pengalaman meluas dalam bidang perhotelan menerangkan, sehingga kini kadar penginapan hotel yang di uruskan Permodalan Kedah Bhd.

Itu mencecah kepada 75 peratus setiap bulan.
Menurutnya, daripada kadar tersebut, 50 peratus masing-masing disumbangkan daripada pelancong domestik dan luar negara.

Melalui pencapaian tersebut, hotel berkenaan telah mengorak langkah dengan membuka sebuah lagi cawangan baharu di Pantai Chenang, Langkawi yang bertaraf tiga bintang dan sebuah lagi premis hotel bajet terdapat di Kuala Lumpur berdekatan dengan Masjid India.

Tambah beliau, keistimewaan hotel pertama yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri Kedah itu ialah  ia menerapkan ciri-ciri keIslaman yang memberi ketenangan dan keselesaan serta layanan istimewa daripada para pekerjanya.

Sebalik melangkah sahaja ke premis tersebut, ucapan salam kepada tetamu tidak pernah lekang daripada kakitangan di meja hadapan dan ia bukan sahaja ketika anda baru mendaftar di bilik malah sepanjang penginapan di premis berkenaan tatkala terserempak dengan sesiapa sahaja daripada kakitangannya tidak kiralah mereka daripada jabatan penyelenggaraan, di restoran, di cef dan juga house keeping.

Keistimewaan lain ialah setiap kali masuknya waktu solat, azan akan berkumandang lima kali sehari yang boleh didengar di setiap bilik malah selepas waktu subuh, bacaan ayat suci Al-Quran diperdengarkan untuk menenangkan hati pengunjung.

“Sepanjang hotel ini beroperasi, kami tidak pernah mendengar sebarang rungutan dan aduan daripada pelanggan berhubung alunan azan dan juga ayat suci Al-Quran di perdengarkan di premis ini,” jelasnya.

Sepanjang pengalaman penulis menginap di situ, ketenangan dan keceriaan dapat dimanfaat ketika bercuti di hotel berkenaan selain menikmati hidangan menarik di restoran di situ.

Selain itu, penulis juga dapat merihatkan diri dengan damai ketika menemani anak perempuan mandi manda di kolam renangnya yang berpisah daripada kolam renang umum kerana ia dikhususkan untuk golongan Muslimah sahaja.

Ditanya mengenai pelan perancangan baharu Adya Hotel, Razmy memberitahu, syarikat bakal melabur kira-kira RM1 juta untuk menaik taraf kemudahan sedia ada di dalam bilik seperti menukar lantai, beberapa perabot dan juga di bahagian restoran.

“Kami juga bersedia menawarkan pengalaman dan kemahiran mengendalikan hotel mesra muslim kepada mana-mana operator atau pemilik hotel untuk membuat transformasi bagi membolehkan premis berkonsepkan patuh Syariah.

“Ia merupakan satu industri berpotensi kerana pemintaan yang tinggi daripada pelanggannya dari pasaran tempatan dan luar negara.

“Tawaran ini terbuka kepada hotel bajet atau hotel daripada taraf tiga bintang hinggalah kepada hotel lima bintang.

Jika sebelum ini, hotel anda tidak berjaya, saya yakin dengan usaha kepada pematuhan syariah, ia akan membawa satu kejayaan.

Islam adalah cara kehidupan kita, jika kita tidak mempercayainya maka siapa pula yang akan mempercayai konsep tersebut,” jelas Razmi. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button