MahkamahNasional

ADUN saman peguam Hak Asasi Manusia kaitkannya dengan kes rogol

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Selangor, Muhammad Hilman Idham memfailkan saman fitnah terhadap peguam Hak Asasi Manusia, Asheeq Ali Sethi Alivi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini kerana mengaitkan beliau dengan kes rogol.

Pemimpin PPBM (Bersatu) itu mendakwa Asheeq membuat kenyataan berbaur fitnah apabila mengaitkan dirinya dengan kes rogol berkenaan dalam sidang media pada 11 Ogos 2021.

Memetik laporan FMT, Hilman berkata, kenyataan itu membawa maksud beliau selaku plaintif, terbabit dalam dakwaan rogol terhadap seorang wanita.

“Defendan dengan sengaja dan/atau berniat jahat cuba memfitnah dan/atau mencemarkan, menjatuhkan dan merendahkan imej dan reputasi plaintif…,” kata Hilman dalam pernyataan tuntutannya, dengan menambah kata-kata fitnah itu dilaporkan beberapa portal berita seperti FMT, Malaysiakini, Sinar Harian dan The Malaysian Insight.

Hilman berkata, pasukan peguamnya daripada Hafiz Ruzaini & Co telah menghantar surat tuntutan kepada Asheeq pada 13 Ogos lalu supaya menarik balik kenyataan itu serta membuat permohonan maaf secara terbuka dan aku janji. Bagaimanapun katanya, ia tidak diendahkan Asheeq.

Hilman menuntut ganti rugi dan perintah supaya Asheeq diarahkan membuat permohonan maaf.

Terdahulu, Asheeq dilaporkan berkata, seorang wanita yang mendakwa dirogol rakan Hilman, sedang mempertimbangkan memfailkan kes sivil terhadap pelakunya.

Wanita itu turut mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka.

Seorang lelaki, Mohd Zulfahimin Mahdzir didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 3 September lalu atas tuduhan merogol wanita itu pada Disember 2020. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button