AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling akan mengedarkan 15,000 keping sampul angpau untuk masyarakat Tionghua di sekitar Kangar sempena Tahun Baru Cina.
Buat pertama kali hari ini, Ay Ling mengedarkan sampul angpau kepada para pengunjung pasar sehari di hadapan panggung Mahkota, Jalan Jubli Perak, Kangar.
Beliau juga menghadiahkan sebiji limau bersama sepaket sampul angpau sambil beramah mesra dengan pengunjung pasar berkenaan.
Katanya, ini adalah kali ketiga dia berpeluang mengedar sampul angpau sepanjang menjadi ADUN Indera Kayangan.
“Dua tahun semasa tempoh pandemik Covid-19 pemberian sampul ini tidak dilaksanakan,” katanya.
Sekalipun hanya sampul yang diberikan, kata Ay Ling ini amat penting kerana ia menjadi satu keperluan bagi yang akan menyambut perayaan ini.
Selain itu katanya, pihaknya juga akan menyantuni kira-kira 200 warga emas dan yang tidak berkemampuan sempena Tahun Baru Cina nanti.
“Kita akan bekerjasama dengan kerajaan negeri di mana mereka ini akan diraikan dalam majlis makan dan juga pemberian sumbangan yang dijangka akan diadakan pada 20 Januari ini ,” kata Ay Ling satu-satunya calon parti Keadilan yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November tahun lalu. – SM