AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Seri Abu Bakar Harun diberitakan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) awal pagi ini.
Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 3 pagi dipercayai akibat serangan jantung.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam laman Facebook rasmi beliau menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Mendapat perkhabaran berita sedih pemergian seorang sahabat dan rakan seperjuangan, Datuk Seri Abu Bakar Harun yang telah kembali ke rahmatullah awal pagi ini.
“Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya.
Dalam pada itu, Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pemergian Allahyarham ke rahmatullah sebagai satu kehilangan yang besar.
“Saya telah lama mengenali Allahyarham, seorang bekas peneroka Felda dan amat disenangi rakyat di Pahang.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para solihin,”katanya dalam laman Facebook milik beliau
Pada Pilihan Raya Umum 2018, Abu Bakar selaku wakil Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi DUN Chini yang disandangnya dalam pertembungan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi
Beliau menewaskan wakil daripada PAS, Muhd Fadhil Noor Abdul Karim, yang memperoleh 4,622 undi dan wakil PKR yang mewakili Pakatan Harapan, Mohamad Razali Ithnain, yang mendapat 1,065 undi.
Kawasan Parlimen P085 Pekan mempunyai empat kawasan DUN iaitu N20 DUN Pulau Manis, N21 DUN Peramu Jaya, N22 DUN Bebar, dan N23 DUN Chini. – SM