Adele lakar rekod dalam carta muzik UK dengan ‘30’
BINTANG tersohor British, Adele melakar rekod baharu dalam carta muzik UK, dengan merampas kedua-dua tempat nombor satu untuk single dan album.
The Official Charts berkata, album superstar itu iaitu ‘30’ adalah keluaran pertamanya dalam tempoh enam tahun dan mempunyai 261,000 jualan dalam carta dan merupakan album yang terpantas dijual dalam minggu pertama keluarannya tahun ini.
Ia juga merupakan pembuka terbesar untuk artis solo wanita sejak album terakhirnya iaitu ‘25’ dikeluarkan pada tahun 2015 dan ini bermakna keempat-empat album studionya kini telah menjadi nombor satu.
Album ’25’ masih berada dalam carta di nombor 15, begitu juga album ‘21’ serta album debut yang mula mencipta nama Adele iaitu ‘19’, masing-masing berada pada nombor 18 dan 31.
Penyanyi serta penulis lagu berusia 33 tahun itu berjaya mengekalkan slot tunggal nombor satu dengan keluaran pertama daripada album tersebut yang bertajuk ‘Easy On Me’ untuk enam minggu selepas dikeluarkan.
Lagu kedua daripada album ‘30’ iaitu ‘Oh My God’ adalah entri baharu tertinggi berada di nombor dua manakala ‘I Drink Wine’ menduduki tempat keempat. -SM.