Hiburan

Adat Kasih: Ziha Salleh tumpang nama Aubrey Suwito

SETAHUN lamanya NOR Aziha Md Salleh atau nama pentasnya, Ziha Salleh menyimpan rahsia dan digambarkan dengan kesibukannya menguruskan rumah tangga terutama anak-anak.

Rahsianya itu hanya diketahui oleh ahli keluarga terdekat sehinggalah sampai waktunya untuk beliau menguar-uarkan kepada khalayak.

Maklumlah, empat tahun Ziha memperlahankan kerjaya seninya walaupun mengakui, jauh di sudut hatinya, beliau mahu kembali aktif dan seterusnya, menghidupkan kembali bidang nyanyiannya.

Dengan bersandarkan kepada genre pop tradisional, Ziha membuka rahsianya dengan kehadiran single kedua berjudul Adat Kasih.

“Walau sudah hampir empat tahun  saya membuat keputusan untuk memperlahankan kerjaya seni demi memberikan tumpuan kepada anak-anak, hari ini saya gembira kerana dalam tempoh setahun yang lalu, saya sempat merakamkan single kedua sebagai buah tangan terbaharu untuk pendengar dan peminat muzik tanah air,” katanya.

Beliau berkata, hasratnya untuk  kembali aktif khususnya pada bidang nyanyian tidak pernah padam dan dengan single, Adat Kasih yang menggabungkan elemen pop dan tradisional, diterima peminat.

Kata Ziha, irama tradisional cukup dekat dengan jiwa anak kelahiran Johor Bahru ini.

Disulami pula dengan latar belakang keluarga yang menggemari irama tradisional dan zapin, kata Ziha, itu turut menyuntik minatnya terhadap irama tradisional sejak kecil lagi.

“Namun, bagi membolehkan Adat Kasih diterima ramai dan bersesuaian dengan cita rasa pendengar masa kini, saya mengambil langkah menggabungkan elemen pop bersama tradisional.

“Saya tahu bukan mudah untuk mendapatkan lagu yang bersesuaian. Oleh itu saya dan suami mengkaji betul-betul selama dua tahun sebelum melahirkan single ini,” katanya.

Katanya lagi, beliau dan suami memilih Aubrey Suwito, satu nama besar dalam industri muzik Malaysia dan Indonesia, sebagai komposer kerana yakin dengan kredibiliti dan juga kemampuan Aubrey untuk menterjemahkan apa yang diingininya.

“Kita semua tahu Aubrey kaya dengan pengalaman dan beliau banyak kali bekerjasama dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Itu juga membuatkan kami yakin bahawa Aubrey mampu memberi apa yang terbaik untuk single kedua saya,” kata Ziha.

Menurut Ziha lagi, sebelum Aubrey menghasilkan lagu buatnya, mereka terlebih dulu berjumpa bagi membincangkan mengenai konsep lagu serta rujukan muzik yang bersesuaian.

“Ketika Aubrey memperdengarkan demo Adat Kasih buat pertama kali, saya terus berkenan. Beliau tahu apa yang saya mahukan dan auranya sampai.

“Kami mengambil sedikit masa untuk membuat susunan muzik yang bersesuaian dengan saya. Setelah berpuas hati, barulah proses rakaman dijalankan.,” katanya.

Untuk rekod, proses rakaman dibuat di Cranky Studios dan Ziha hanya mengambil masa sehari saja untuk rakaman dalam studio.

Kata Ziha, apabila sudah lama merehatkan diri, sebelum masuk studio rakaman, beliau mengikuti kelas vokal selama empat minggu.

Langkah itu diambil kerana Ziha tidak mahu pisang berbuah dua kali, mengulangi kesilapan sewaktu tampil dengan single pertama, Takkah Ini Cinta kira-kira empat tahun lalu.

Ketika melahirkan single itu, kesilapan beliau ialah terburu-buru ingin memiliki single pertama tanpa mempedulikan sama ada sudah bersedia ataupun tidak.

“Waktu itu saya merasakan sudah cukup bersedia sedangkan pada hakikatnya, saya belum benar-benar bersedia dari segi nyanyian, kualiti vokal dan publisiti.

“Dengan keadaan semasa yang tidak menyebelahi saya pada ketika itu, saya keluarkan juga single tersebut kerana selepas Akademi Fantasia tamat, saya lebih banyak berlakon sehingga orang lupa yang saya juga sebenarnya adalah seorang penyanyi,” jelas Ziha.

Jadi pada kali ini,  Ziha berkata, beliau tidak mahu terburu-buru lagi.

“Itulah sebabnya saya mengikuti kelas vokal intensif empat minggu bersama Puan Faezah daripada Fakulti Muzik UiTM Shah Alam. Banyak teknik nyanyian yang betul saya pelajari daripada beliau,” katanya.

AUBREY SUWITO

Sementara itu, Aubrey Suwito berkata, beliau mengambil masa kira-kira sebulan untuk menyiapkan lagu berkenaan kerana menggabungkan dua irama berbeza.

Kata Aubrey, beliau memilih lagu yang kedengaran seperti pantun dan menyuntik sedikit muzik kanak-kanak supaya lagu itu kedengaran menarik serta mudah diingati.

“Sewaktu sesi perbincangan, Ziha memaklumkan genre bagaimana yang dia mahukan.

“Genre yang dia pilih memang agak berlainan. Dia beritahu meminati lagu pop dan tradisional. Jadi hampir sebulan juga barulah saya berjaya menghasilkan irama yang dikehendakinya,” jelas Aubrey.

Kata Aubrey lagi, pertama kali Ziha mendengar lagu Adat Kasih, dia gembira dan berpuas hati.

“Justeru tidak ada proses penambahbaikkan berkali-kali. Sebelum proses rakaman dimulakan, saya mengadakan bengkel selama dua hari bersama dengan Ziha.

“Memang menjadi kelaziman saya berbuat demikian supaya boleh tumpukan bahagian mana yang perlukan diberikan tumpuan.

“Sebagai contoh,  bilakah perlu menggunakan vokal yang keras dan bahagian manakah yang perlu dilembutkan.

“Selain itu saya juga mahu penyanyi lebih bersedia sewaktu rakaman dilakukan supaya prosesnya tidak memakan masa lama,” jelas Aubrey.

Bagi anda yang tertanya-tanya bagaimanakah kedengaran lagu berjudul Adat Kasih ini, bolehlah menonton muzik videonya di saluran Cranky Music. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button