Politik

Zahid Hamidi rehat sekejap, lepaskan kerusi Presiden parti

INI dipetik dari akaun Facebook Minda Syed Ali Alhabshee yang menyatakan pandangan beliau sekiranya keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO 2009 masih terpakai, adakah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh digantung daripada keanggotaan parti.

Persoalan itu dilontarkan kemungkinan besar berkaitan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, Ahmad Zahid diarahkan membela diri atas 47 pertuduhan iaitu pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan rasuah.

Ismail Sabri Yaakob

Bagi menjamin survival UMNO untuk menghadapi PRU-15, saya berpandangan sewajarnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipilih sebagai Presiden parti itu manakala Datuk Seri Mohamad Hassan sebagai Timbalan Presiden.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini (Isnin) memerintahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk membela diri atas 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Walaupun ada pihak berpendapat kes Ahmad Zahid tidak memberi kesan kepada UMNO tetapi saya tetap percaya bahawa kes berkenaan akan menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat terbanyak terhadap UMNO dan mampu mempengaruhi keputusan PRU-15.

Lagi pun ahli-ahli UMNO peringkat akar umbi masih tertanya-tanya apakah keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO 2009 yang memutuskan mana-mana pemimpin parti itu terbabit kes mahkamah secara automatik akan digantung semua jawatan dalam parti, masih diguna pakai atau sebaliknya.

Presiden UMNO pada ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO pada 30 Mei 2009 dipetik sebagai berkata, “Sekiranya pemimpin itu berjaya dalam proses mahkamah, iaitu didapati tidak bersalah, maka jawatannya dikembalikan,”.

Berdasarkan kepada keputusan MT UMNO pada tahun 2009, saya tidak menolak kemungkinan banyak pemimpin UMNO termasuk Ketua Bahagian yang terkait dengan kes mahkamah dan dikenakan tindakan disiplin tetapi masih lagi memegang jawatan dalam parti.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung UMNO perlu mengeluarkan kenyataan terbuka menjelaskan kepada ahli-ahli parti di peringkat akar umbi sama ada ketetapan itu telah dibatalkan atau masih lagi berkuatkuasa mengikut peraturan yang ditetapkan oleh perlembagaan parti.

Jika secara rasmi ia telah dibatalkan, bermakna tindakan disiplin yang telah diambil ke atas pemimpin-pemimpin UMNO sebelum ini secara automatik, turut terbatal dan tidak sah.

Sebaliknya jika keputusan MT UMNO 2009 masih lagi kekal sehingga ke hari ini (2021), bagaimana pula dengan kedudukan pemimpin- pemimpin UMNO yang masih memegang jawatan dalam parti tetapi sedang disabitkan dengan kes mahkamah termasuk mereka yang dalam proses perbicaraan?

Oleh sebab itu, saya boleh bersetuju dengan pandangan banyak pihak terutama dari kalangan UMNO yang mahu Ahmad Zahid ‘direhatkan’ serta merta daripada memegang jawatan penting dalam parti termasuk kerusi presiden.

Kekosongan tersebut sewajarnya dipangku oleh Ismail Sabri, sesuai dengan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri sehinggalah pemilihan pucuk pimpinan parti diadakan.

Saya berkongsi pandangan ini kerana bimbang UMNO dan BN khususnya akan berdepan dengan kesukaran untuk meraih kemenangan besar pada PRU15 akan datang.

Keputusan PRU14 sepatutnya menjadi pengajaran berguna kepada UMNO bahawa pemimpin yang berdepan dengan kes mahkamah dan bergelumang dengan isu penyalahgunaan kuasa akan menjadi beban kepada parti dan dicemuh serta ditolak pengundi.

Saya juga berpendapat keputusan PRN tidak mencerminkan kekuatan sebenar mana-mana parti kerana pengundi pada PRU memiliki tanggapan dan keyakinan yang berbeza. – SM

 

(Visited 614 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button