GAMBAR kejadian Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terpaksa memanjat pagar untuk melarikan diri daripada kira-kira 200 orang pemportes kelmarin menimbulkan banyak persoalan.
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago mempersoalkan adakah kejadian yang menimpa Syed Saddiq itu merupakan satu petunjuk terhadap kecuaian pihak polis dan keselamatan.
“Di mana pengawal keselamatannya? Siapa yang mengetuai protocol keselamatannya? Mengapa Syed Saddiq terpaksa melarikan diri? Adakah kerana khuatir kesalamatan nyawanya?
“Lebih penting lagi di manakah polis? Adalah melegakan apabila mengetahui polis telah menahan dua orang yang dipercayai bertanggungjawab terhadap kejadian itu. Namun ia masih belum mencukupi,” tegas Charles.
Charles turut mempersoalkan adakah kejadian yang menimpa Ahli Parlimen Muar itu menunjukkan masalah yang lebih besar.
Malah Charles turut menimbulkan persoalan mengenai masa depan negara apabila polis gagal untuk bertindak segera melindungi seorang menteri persekutuan dalam kejadian tersebut.
“Jika ini nasib yang menimpa seorang anggota Kabinet bagaimana pula nasib rakyat biasa?
“Saya tahu ini adalah soalan yang banyak dan teruk tetapi saya hanya menyampaikan kebimbangan ramai rakyat Malaysia yang juga risau dengan budaya menakutkan seseorang untuk kepentingan segelintir pihak,” kata Charles.
Gambar Syed Saddiq memanjat pagar menyelamatkan diri daripada sekumpulan pemprotes malam kelmarin tular di media sosial.
Dalam gambar itu Menteri Belia dan Sukan tersebut masih berpakaian formal dengan kemeja lengan panjang berwarna putih dan seluar hitam kelihatan cemas memanjat pagar besi dalam keadaan gelap gelita.
Beberapa orang kelihatan memerhati Syed Saddiq yang cuba memanjat pagar besi berkenaan dengan seorang daripada mereka berada berdekatan dengan Ketua Pemuda Pakatan Harapan tersebut seolah-olah cuba menolong beliau.
Kejadian itu berlaku ketika program santai bersama keluar ahli Armada Johor, Srikandi dan Bahagian sedang berlangsung.
Kira-kira 200 orang yang berpakaian serba hitam telah mengepung dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Syed Saddiq yang turut disaksikan oleh ibu Ahli Parlimen Muar itu.
Menurut Charles, menangkap seorang dua berkaitan kejadian itu tidak akan menyelesaikan masalah. Sebaliknya polis perlu menyiasat dengan teliti dalang sebenar kejadian tersebut.
Charles yang juga anggota DAP turut mendesak Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador untuk mendedahkan hasil siasatan kepada umum.-SM