NAMA Syed Umar Mohtar Syed Mohd. Ridzuan lebih kenali ramai khususnya para peminat industri hiburan tanah air dengan nama pentasn ya Abam Bocey.
Abam yang menyertai pertandingan lawak yang dikelolakan oleh stesyen televisyen berbayar mencipta namanya bersama rakan-rakan dalam kumpulan Bocey selepas rezeki memihak kepada mereka.
Perjalanan kerjaya seni pilihan Abam menyerlah apabila lawak jenaka yang menjadi modalnya bukan sahaja menjadi tetapi berjaya mencuit hati penonton.
Dengan gelagatnya yang selamba, karakter Abam Bocey diingati dengan kepelbagaian tetapi karakternya sebagai Abang Bangla dengan lengguk kepala dan bahasa isyarat tubuh apbila melontarkan dialog sebagai Abang Bangla, meninggalkan ingaan yang kuat.
Selepas berjaya mencipta nama sebagai pelawak, dari bujang, Abam yang mempunyai susuk tubuh plus size, dikurniakan Allah jodoh.
Pernikahan Abam dengan wanita bernama Nor Hidayah Mohd. Ali merupakan suatu rahmat yang sukar untuk digambarkan melalui kata-kata oleh Abam sendiri.
Yang terukir di hari pernikahannya ialah raut wajah kegembiraan dan kesyukuran dan hasil berkahwinan pasangan ini pada tahun 2017, mereka dikurniakan dengan seorang cahaya mata lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey yang baharu berusia lima bulan.
Hari ini, bukan sahaja isteri, ahli keluarga, rakan taulan Abam, bahkan seluruh peminat, penggiat, pengkarya dan industri hiburan Malaysia menerima satu perkhabaran yang mendukacitakan.
Abam Bocey telah pulang ke rahmatullah dalam usianya 32 tahun dan baharu lima bulan dapat bermain-main dengan cahaya mata tunggalnya.
Berita yang mengejutkan dan sedih disampaikan oleh isterinya kepada adik lelaki allahyarham Abam, Ali.
Menurut isteri allahyarham Abam kepada adik iparnya itu, Abam demam, mengadu sakit kepala tetapi apabila diajak ke hospital, allahyarham enggan.
Kata allahyarham kepada isterinya, dia demam biasa dan sakit kepala biasa tetapi pagi tadi, ketika isterinya cuba untuk mengejutkannya untuk menunaikan solat Subuh, Abam tidak menunjukkan tindak balas.
Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Gombak, Selangor.
Teringat kembali ketika bertemu dengan arwah Abam di Istana Budaya, Abam seorang artis yang berhemah dan berbudi bahasa apabila bertutur bicara dengan wartawan hiburan.
Walaupun tidak mengenali mesra namun Abam apabila dipuji mutu lakonan yang dipaparkannya, beliau mengukir senyum manis dan menghargai pujian yang diberikan kepadanya.
Kata Abam ketika itu, “terima kasih. Abam akan sentiasa cuba memberikan lakonan yang lebih baik di masa akan datang,” katanya yang secara mata kasar, dilihat sebagai seorang insan yang tidak lokek dengan senyuman dan bersifat riang.
Demam dan sakit kepala dalam tempoh dua hari, hari ini, Abam telah pergi dijemput Illahi. Tiada lagi karakter Abam sebagai Abang Bangla yang dapat ditonton, baik di kaca TV mahu pun di pentas pementasan teater.
Yang tinggal hanyalah kenangan buat isteri allahyarham, Hidayah dan kenangan yang harus diceritakan kepada anak allahyarham yang baharu berusia lima bulan, siapakah arwah ayahnya.
Rakan sekumpulan allahyarham dalam Bocey, Fad dan Acey semestinya terasa kehidlangan yang tidak ada galang gantinya. Susah senang mereka bersama untuk mengukir nama dalam industri hiburan Malaysia.
Tagline Abam, Gemuk is Awesome juga akan menjadi kenangan buat seluruh para peminatnya kerana memiliki susuk tubuh yang comel.
Semasa hayat di kandung badan, Abam sentiasa memberikan aura positif kepada peminat dan tidak sesekali merasa rendah diri kerana bentuk fizikal yang dimiliki.
Moga Allah SWT cucuri rahmat ke atas roh allahyarham dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Salam takziah daripada SUARA MERDEKA buat isteri dan seluruh keluarga allahyarham Abam Bocey. – SM