Aaron-Wooi Yik naib juara Terbuka Thailand Toyota
Beregu lelaki Malaysia sekali lagi terpaksa berpuas hati muncul selaku naib juara kejohanan badminton Terbuka Thailand Toyota setelah pasangan No. 9 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas kepada pencabar dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin dalam perlawanan akhir di Impact Arena, Bangkok, hari ini.
Aaron-Wooi Yik yang turun selaku pilihan kelapan tidak mampu untuk menandingi beregu handalan No. 7 dunia itu apabila kecundang straight set 13-21, 18-21 dalam masa 36 minit.
Sebagai naib juara, beregu yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai AS$35,000 (RM141,289), manakala Lee Yang-Chi Lin memenangi AS$AS74,000 (RM298,726) selaku juara.
Kekalahan menimpa Aaron dan Wooi Yik di tangan pasangan Taiwan itu menjadikan rekod pertemuan mereka 0-3 setelah dalam dua perlawanan terdahulu pada 2019 di Jelajah Dunia Akhir HSBC BWF dan Gwangju Korean Masters berpihak kepada Lee Yang- Chi Lin.
Minggu lepas, beregu profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong juga tewas kepada Lee Yang-Chi Lin pada final Terbuka Thailand Yonex.
Wooi Yik yang dipetik kenyataannya menerusi laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berkata, mereka berasa tertekan sejak daripada awal permainan lagi.
“Mereka lebih kuat berbanding kami, jadi ia amat sukar buat kami untuk bermain menyerang. Dalam set kedua, kami beraksi lebih agresif.
“Tetapi, lawan kami bermain dengan sangat baik, mereka berjaya memaksa kami melakukan kesilapan demi kesilapan,” katanya.
Aaron pula memberitahu, mereka mempamerkan persembahan lebih baik berbanding kejohanan, minggu lalu setelah mereka tersingkir seawal pusingan pertama pada Terbuka Thailand Yonex.
“Hari ini, kami gagal menamatkan pertandingan ini pada keputusan terbaik, tetapi muncul selaku naib juara meningkatkan keyakinan kami.
“Minggu depan, semuanya bermula pada angka kosong semula. Kami perlu lebih fokus kepada permainan kami, lupakan apa yang berlaku minggu ini dan bermula sekali lagi,” ujar Aaron.
Sementara itu, dalam final beregu wanita yang menyaksikan pertembungan dua pasangan Korea Selatan berakhir dengan pilihan keempat, Kim So Yong-Kong Hee Yong menundukkan Lee So Hee-Shin Seung Chan yang diletakkan selaku pilihan ketiga, 21-18, 21-19 dalam permainan berlangsung hampir sejam.
Bagi perlawanan akhir perseorangan wanita pula, pilihan pertama, Tai Tzu Ying dari Taiwan tewas buat kali kedua berturut-turut dalam tempoh dua minggu kepada juara dunia tiga kali, Carolina Marin dari Sepanyol 21-19, 21-17.
Minggu lalu, Tzu Ying tumpas kepada lawan sama pada final Terbuka Thailand Yonex.
Untuk final perseorangan lelaki yang turut menyaksikan pertemuan antara dua rakan senegara berkesudahan pilihan keempat, Victor Exelsen dari Denmark mengalahkan Hans-Kristian Solberg Vittinghus menerusi kemenangan straight set 21-11, 21-7 dalam masa 40 minit.
Dalam pada itu, gelaran beregu campuran menjadi milik pilihan pertama, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai setelah wakil tuan rumah itu menyingkirkan pasangan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae YuJung yang diletakkan sebagai pilihan keempat 21-16, 22-20. – SM