Ekonomi

KWSP umum pemenang anugerah pengurus dana luaran KWSP 2021

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan sebanyak 22 anugerah telah disampaikan kepada pemenang pengurus dana luaran sebagai pengiktirafan kepada prestasi mereka dalam menguruskan portfolio pelaburan KWSP pada tahun 2021.

Anugerah Pengurus Dana Luaran KWSP ini yang telah memasuki tahun ke-20, meraikan dan mengiktiraf pencapaian barisan pengurus dana luaran KWSP mengikut mandat masing-masing yang dinilai berdasarkan beberapa set metrik kuantitatif.

Sehingga 31 Disember 2021, sebanyak RM167.63 billion telah disalurkan kepada pengurus dana luaran, meningkat sebanyak lapan (8) peratus, berbanding RM155.18 bilion pada ahkir 2020. Peruntukan ini, yang dilaburkan dalam ekuiti dan instrumen pendapatan tetap, mewakili 16.66 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata: “Barisan pengurus dana luar KWSP menunjukkan prestasi yang baik pada tahun 2021 dan memberikan keputusan yang membanggakan selaras dengan objektif dan jangkaan KWSP untuk tahun tersebut.

“Pengurus dana telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi aset KWSP, dan seiring dengan pertumbuhan saiz dana KWSP, ia akan meneruskan strategi kepelbagaian ini dan memanfaatkan kemahiran mereka yang melengkapkan keupayaan pengurusan dana dalaman KWSP sendiri.”

Bagi tahun kewangan berakhir 2021, KWSP mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.10 peratus dengan pembayaran RM50.45 bilion untuk Simpanan Konvensional, dan 5.65 peratus dengan pembayaran RM6.27 bilion untuk Simpanan Shariah. Secara kumulatif, jumlah pembayaran untuk 2021 ialah RM56.72 bilion.

Pada Mac 2022, KWSP telah melancarkan Polisi Pelaburan Mampan KWSP, Polisi Isu Keutamaan dan Polisi Sektor Keutamaan untuk membimbing KWSP dalam membuat keputusan pelaburan yang lebih termaklum dan holistik dengan mengintegrasikan faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam proses pengurusan pelaburannya.

Acara tersebut juga menyaksikan 16 pengurus dana luaran KWSP menandatangani Ikrar Pelaburan Mampan sebagai tanda komitmen mereka terhadap penerapan ESG ke dalam keputusan pelaburan mereka.

“Sesuai dengan kedudukan KWSP sebagai dana persaraan yang mempunyai objektif dan aspirasi jangka panjang, amat penting bagi KWSP untuk menggabungkan faktor ESG ke dalam penilaian prestasi dan amalan perniagaan syarikat pelaburan dan pengurus dana  luarannya.

“Rangka kerja Pelaburan Mampan KWSP akan menjadi asas kepada sesi libat urus dalam membincangkan, menilai, dan mengurus risiko ESG, serta memanfaatkan peluang penambahan nilai.

“KWSP meletakkan piawaian yang tinggi ke atas prestasi dan ingin menyampaikan penghargaan kepada semua pengurus dana ke atas prestasi mereka yang cemerlang tahun lepas yang telah menyumbang kepada kejayaan KWSP dan seterusnya kepada kesejahteraan ahli KWSP,” tambah Ahmad Badri. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button