Ibu bapa Nora Anne kemuka permohonan inkues kepada Peguam Negara
IBU bapa kepada remaja, Nora Anne Quoirin mendesak pihak berkuasa Malaysia supaya mengadakan inkues bagi menyiasat kematiannya.
Permohonan itu dibuat melalui peguam di Malaysia yang menghantar permohonan tersebut kepada Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Memetik laporan Channel News Asia (CNA), ibu bapa Nora Anne dikatakan tidak berpuas hati terhadap pihak polis yang sebelum ini menyatakan kematian anaknya tiada unsur jenayah.
Remaja Ireland itu sebelum ini dilaporkan hilang ditemui meninggal dunia dalam keadaan berbogel pada 13 Ogos tahun lalu selepas hilang di Negeri Sembilan.
Nora Anne, 15, dilaporkan hilang selepas sehari tiba di resort penginapan bersama keluarganya di Pantai, Negeri Sembilan.
Kehilangan Nora menggemparkan seluruh negara apabila proses mencari dan menyelamat giat diusahakan pihak polis yang mengambil masa sehingga 10 hari sebelum ditemukan meninggal dunia kurang dua kilometer dari resort.
Dalam pada itu, ibu bapa remaja lembam itu meragui laporan bedah siasat yang menyatakan sebab kematian anak mereka berpunca daripada pendarahan dalaman selepas seminggu berada dalam hutan.
Menurut mereka lagi, Nora Anne tiada sebab untuk berjalan seorang diri tanpa ditemani sesiapa seperti dakwaan polis.
Mungkin wujud elemen jenayah
Peguam mereka, Sanka Nair, berkata, ibu bapa remaja itu meminta siasatan lanjut dan penjelasan terhadap kemaitan anak mereka.
“Kami mahu mencari punca kepada kematiannya. Menerusi surat kepada Tommy, kami mengesyaki wujud elemen jenayah dalam kes tersebut sebagai contoh penculikan.
“Terlalu banyak persoalan yang masih lagi belum dijawab oleh pihak polis,” katanya.
Permohonan inkues tersebut dibuat Meabh dan Sebastian Quoirin selepas mereka menerima satu kenyataan bahawa kes kematian anak mereka ditutup.
“Kami terkejut apabila mendengar berita bahawa kes kematian Nora Anne ditutup,” katanya ketika berada di London.
Sehubungan itu, mereka turut menfailkan saman kepada resort dan meminta pampasan sekurang-kurangnya RM182,000 sebagai ganti rugi. – Agensi