Tsunami: Raja Muda Perlis kongsi tips
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkongsi beberapa ‘Tips Bagi Menghadapi Tsunami’.
Antaranya ialah sebelum ianya berlaku, ketahuilah tanda-tanda tsunami dan kenali persekitaran anda serta laluan evakuasi.
“Sekiranya berlaku tsunami, jauhi kawasan pantai jika berada di daratan dan sekiranya berada di lautan jauhi kawasan pesisir pantai,” titah Baginda.
Titah Baginda, jangan bawa barang-barang yang membebankan, hubungi pihak berkuasa serta saudara mara sekiranya kemudahan komunikasi masih belum terputus dan cuba dapatkan benda-benda yang mudah terapung.
Demikian titah baginda selepas berkenan meninjau Siren Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) yang baru sahaja dipasang oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di pekarangan Masjid Ameer Fawwaz, Sungai Baru, Simpang Empat baru-baru ini.
Sebelum itu Baginda berkenan berangkat memghadiri Program Hijrah Minda Majlis Agama Islam
dan Adat Istiadat Perlis (MAIPs) Bilangan ke-16 bagi tahun 2022 di masjid tersebut pada petang semalam.
Hadir sama Exco Kerajaan Negeri, Nurulhisham Yaakob yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat, Mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Sempena program tersebut baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan zakat MAIPs berjumlah RM11,600 kepada seramai 29 asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid tersebut untuk diagihkan oleh amilnya Mohd Shokkeri Ismail. – SM