Nasional

Pemerkasaan rakyat Perlis penting untuk hidup sihat – Raja Muda

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pemerkasaan rakyat Perlis adalah penting kerana rakyat yang berpengetahuan dan cakna akan mahir dan berupaya membuat keputusan, mengambil tindakan terbaik dalam kawalan kesihatan kendiri merangkumi budaya hidup sihat, amalan norma baharu dan penilaian kesihatan kendiri.

Titah baginda, ianya akan dapat mencegah pelbagai jenis penyakit dan rakyat Perlis akan dapat hidup sihat sejahtera.

Baginda bertitah, bagi memperkasa individu, keluarga dan komuniti dalam penjagaan kesihatan diri dan persekitaran untuk melahirkan rakyat yang sihat dan hidup sejahtera, rakyat Perlis hendaklah lebih peka dan mengambil tahu status kesihatan diri sendiri serta ahli keluarga tersayang masing-masing, dan mengambil langkah kawalan perebakan penyakit.

“Kita semua telah banyak belajar daripada kawalan kendiri menghadapi Covid-19 maka
gunakan pengetahuan dan pengalaman yang ada dalam menangani penyakit-penyakit lain sama ada penyakit berjangkit atau tidak,” titah Baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Negeri Perlis’ anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Perlis di Dataran Datuk Sheikh Ahmad Kangar pada pagi ini.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Kesihatan Perlis, Datuk Dr. Sirajuddin Hashim.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga menyokong penuh ‘Agenda Nasional Malaysia Sihat’ (ANMS) yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Baginda juga menyeru seluruh penduduk Perlis untuk menyokong ANMS.

“Ini kerana kita semua tahu bahawa matlamat atau objektif ANMS ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang sihat sejahtera dengan membudayakan cara hidup sihat,” titah Baginda.

Titah Baginda, semua orang bukan hanya mahu sihat dari segi fizikal tetapi juga sihat dan sejahtera dari segi mental, serta hidup dalam persekitaran yang bersih.

Terdahulu daripada itu baginda berdua berkenan menyaksikan Khairy mencuba bermain sukan woodball buat pertama kalinya di padang bersebelahan diiringi oleh Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis, Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin dan Setiausahanya, Rusli Abdul Hamid.

Di akhir program Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut meluangkan masa melancarkan plaka ‘Trak Wellness On Wheel Peringkat Negeri Perlis’. – SM

(Visited 158 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button