NegeriSukan

Qabil Irfan kekal juara Pusingan Ke-2 Kejuaraan FIM MiniGP Malaysia Series 2022

QABIL IRFAN masih berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai juara pada Pusingan Ke-2 Kejuaraan FIM MiniGP Malaysia Series 2022.

Kejuaraan itu diadakan di Litar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra selama dua hari dan berakhir semalam.

Pesaing rapat Qabil adalah Adi Putra yang telah menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Adi Putra yang sebelum ini telah menempatkan diri pada kedudukan pertama semasa perlumbaan 1 telah dikecewakan apabila Qabil bangkit untuk merampas kembali kejuaraan pada perlumbaan 2 yang berlangsung pada petang semalam.

Syed Sirajuddin Areeb Putra Ibni Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan hadiah pada Qabil Irfan juara Pusingan Ke-2 Kejuaraan FIM MiniGP Malaysia Series 2022 di Litar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra.

Setelah berlangsung sebanyak dua pusingan, Qabil telah menempatkan diri di kedudukan pertama dengan mengumpul 86 mata.

Manakala Adi pula di tempat kedua dengan kutipan 78 mata dan Akif Abdullah di tempat ketiga dengan mengumpul 66 mata.

Dua pelumba terbaik pada akhir kejuaraan musim ini akan dipilih mewakili negara pada FIM MiniGP World Finals yang akan diadakan di Valencia, Sepanyol pada November nanti.

Sementara itu, dalam saingan SIC Ohvale Championship (110cc), Airel Marzuki telah memenangi kedua-dua perlumbaan diikuti rapat oleh Qayyim Razin dan Aqil Ramadhan.

Majlis penyampaian trofi kemenangan telah disempurnakan oleh anakanda bongsu Tuanku Raja Muda Perlis, Yang Amat Mulia Syed Sirajuddin Areeb Putra Ibni Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, diiringi Prinsipal ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin .

Turut berangkat menyaksikan Perlumbaan 2 SIC Ohvale Championship dan FIM MiniGP Malaysia Series petang semalam adalah puteri kedua Tuanku Raja Muda, Yang Amat Mulia Sharifah Farah Adriana Ibni Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button