AgamaNasionalNegeri

Hina Nabi: Forum jadi medan rentas parti gabung cari resolusi

LAGI berlaku kejadian Nabi Muhammad SAW dihina tetapi itu bukan bermakna umat Islam hanya tengok dan berdiam diri.

Terbaharu jurucakap rasmi Bharatiya Janata Party (BJP) Delhi, India iaitu Nupur Sharma telah menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aishah RA.

Seorang lagi pemimpin BJP, Naveen Kumar Jindal membalas di Twitter sebagai menyokong akan penghinaan tersebut.

Tidak cukup dengan itu (masih dalam siasatan polis) beberapa hari lalu tular video menerusi aplikasi Tik Tok memaparkan sekumpulan lelaki warga asing menyokong tindakan dua ahli politik BJP  itu di hadapan sebuah kuil di Batu Caves, Selangor.

Sekali lagi HIMPUNAN Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Perlis (HIMPUNAN) tampil untuk memberi peringatan pada umat Islam khususnya generasi muda apabila ada individu atau kumpulan dengan lantang menghina Nabi Muhammad SAW.

Berikutan itu, HIMPUNAN dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah menganjurkan Forum Prihatin Akidah bertajuk “Penghinaan Kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam: Cabaran Dan Penyelesaian” .

Forum secara online ini dibawa oleh Suara Sunnah yang boleh ditonton menerusi link https://fb.watch/dFCdifchtr/

Perbincangan dalam talian ini dikendalikan oleh jurucakap HIMPUNAN, Ustaz Mohamad Shahefuddin Ahmad selaku moderator.

Perasmian dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

Ahli-ahli panel terdiri dari Profesor Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs)

Prof. Dr. Basri Ibrahim Al-Azhari yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Datuk Mat Jahya, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Tan Sri Abdul Hadi dan Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti, Wanita PKR, Senator Fadhlina Datuk Siddiq.

Sebagai ucapan perasmian, Mohd Nazim memuji kehadiran ahli panel untuk duduk bersama dengan mengenepikan fahaman politik masing-masing demi mempertahankan kesucian Nabi Muhammad.

Mohd Nazim berkata, malah dalam al Quran telah menyatakan umat Islam dilarang mencerca penganut agama lain sekalipun mereka tidak menyembah Allah.

Bagaimanapun katanya, sesiapa yang menghina Nabi  telah dijanjikan akan dibalas dengan azab Allah.

Sementara ahli panel Prof Basri berkata, pemerintah kena bertindak tegas ke atas mana-mana individu yang sengaja menghina Nabi dan Islam dalam pelbagai cara.

“Jika bersalah maka individu ini kena memohon maaf kepada seluruh umat Islam,” katanya.

Prof Basri berkata, pesalah ini kena berjanji untuk bertaubat dan tidak lagi mengulang perbuatan yang sama.

Manakala Fathul Bari berkata, forum berkaitan ini seharusnya diwacana secara lebih serius.

“Jika tidak di suatu hari nanti, kita akan berhadapan dengan masalah yang lebih besar membabitkan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata, ia dapat membantu kerajaan juga untuk mencari solusi supaya hubungan Malaysia dengan India tidak dikeruhkan dengan isu seperti ini,” katanya.

Muhammad Khalil pula berkata, umat Islam perlu berusaha menyampaikan mesej melalui ceramah, forum, penulisan supaya yang bukan Islam akan tertarik untuk menganutnya.

“Sekalipun ada yang menghina Nabi dan Islam, kita berdoa semoga diberikan hidayah supaya memeluk Islam,” katanya.

Beliau berkata, tidak mustahil mereka yang menghina Islam ini akan memeluk Islam jika diberikan hidayah oleh Allah.

Fadhlina berkata, dari sudut undang-undang sama ada sivil atau syariah memang ada peruntukan mempertahankan maruah Rasulullah jika berhadapan dengan isu.

“Ia berguna untuk mempertahankan maruah Rasulullah jika berhadapan dengan isu sebegini,” katanya.

Tambah beliau, cuma umat Islam perlu berani untuk tampil sebagai tindakbalas terhadap penghinaan ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button