Nasional

MAIPs undang komuniti Muslim di Selatan Thailand sertai Perkampungan Sunnah Edisi Ke-7

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengundang komuniti Muslim di Selatan Thailand khususnya dari Pekan Siam Padang Besa yang berjiranan dengan negeri ini untuk turut serta hadir bagi memeriahkan lagi program ‘Perkampungan Sunnah Edisi Ke-7’ yang akan datang dari 17 hingga 19 Jun 2022 di Masjid Alwi Kangar.

Demikian dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor selepas mengiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke majlis penyempurnaan sumbangan agihan zakat MAIPs bernilai RM21,000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih daripada kalangan anak kariah Masjid Al Mustaqim, Felda Rimba Emas melalui wakil amilnya Azizi Musa di perkarangan Kompleks Bebas Cukai The Zone Emas Kerajang Sdn Bhd Padang Besar. Setiap daripada mereka akan menerima RM700 seorang.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda kedua baginda berdua, Yang Amat Mulia Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Menurut Mohd Nazim, Program Perkampungan Sunnah Edisi Ke- 7 sepertimana sebelum ini akan dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri dengan kerjasama MAIPs dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) bermula dari jam 6.30 pagi hingga 11 malam setiap hari dengan tema pada kali ini iaitu ‘Bangkit Membela Sunnah’. Orangramai pencinta ilmu dijemput berkampung di program yang membariskan senarai panelis yang hebat-hebat tersebut.

Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda sebelum majlis penyerahan sumbangan tersebut turut berkenan meluangkan masa meninjau Kompleks Bebas Cukai The Zone Emas Kerajang Sdn Bhd di Padang Besar tersebut yang ditutup sejak tempoh PKP dan baru sahaja dibuka kembali kepada orang awam sejak seminggu selepas hari raya aidilfitri baru-baru ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button