Perginya tokoh pejuang pendidikan, Tun Arshad Ayub – PM Ismail Sabri
PERDANA Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob turut melahirkan rasa dukacitanya ke atas perginya tokoh pejuang pendidikan yang amat besar sumbangannya pada negara.
Ismail Sabri dalam satu kenyataannya melahirkan rasa sedih dan sayu sejurus mendapat khabar ahli akademik dan pendidik terbilang, Tun Arshad Ayub meninggal dunia pada awal pagi ini.
“Negara kehilangan seorang tokoh yang sangat berjasa dan meninggalkan legasi yang tidak ternilai untuk Keluarga Malaysia,” katanya.
Ismail Sabri berkata, Allahyarham adalah seorang pendidik berpandangan jauh yang memberi impak besar kepada pendidikan negara.
“Legasi Allahyarham khususnya menubuhkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah melahirkan banyak profesional dan juga usahawan tekno Melayu di negara ini.
Kini universiti tersebut telah melahirkan lebih 700,000 graduan,” ujar beliau.
Ismail Sabri juga berkata, Allahyarham juga menunjukkan pencapaian yang luar biasa dalam semua bidang yang diceburi.
“Beliau turut terlibat merancang agenda pembangunan negara khususnya pada era selepas kemerdekaan negara yang menjadi teras pentadbiran Tun Abdul Razak dalam memacu Dasar Ekonomi Baru (DEB),” katanya.
Keazaman, kebijaksanaan dan kerja keras Allahyarham tanpa mengenal erti penat lelah untuk negara serta seluruh Keluarga Malaysia wajar diteladani, kata Perdana Menteri.
“Saya dan Keluarga Malaysia mengucapkan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama-sama roh orang yang beriman dan beramal soleh,” kata Ismail Sabri. – SM