Nasional

JPN tutup, Sungai Rambai terus kelam

 

Selepas enam tahun Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) beroperasi sejak kewujudan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Sungai Rambai, Jasin, Melaka dekat sini, akhirnya agensi kerajaan itu akan ditutup mulai 1 Julai ini.

Sejak JPN beroperasi ia telah banyak memberi manfaat dan kemudahan kepada penduduk setempat termasuk di
Merlimau dan Muar khususnya warga emas untuk memperbaharui kad pengenalan dan sijil kelahiran tanpa perlu ke Jasin atau Bandar Melaka.

Sewaktu dibuka pada 2016, RTC yang dibina dengan kos RM2.6 juta tersebut mendapat sambutan mengalakkan
daripada masyarakat berbilang kaum hingga mencecah 80,000 pengunjung.

Apa tidaknya, sebanyak 30 agensi kerajaan, swasta dan bandan berkanun ditempatkan di pusat sehenti itu
bagi memberi perkhidmatan kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Namun apabila Pakatan Harapan (PH) memerintah negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), sepanjang
22 bulan, RTC di Sungai Rambai adalah antara empat daripada sembilan pusat itu telah diarahkan tutup pada
2018.

Sebanyak 28 agensi kerajaan diarah mengosongkan premis tersebut oleh kerajaan PH diterajui bekas Ketua
Menteri, Adly Zahari melainkan JPN dan Klinik 1 Malaysia terus beroperasi.

PH kemudinnya menukar status RTC kepada Pusat Komuniti Desa (PKD) hingga kekal hari ini walaupun kerajaan
negeri diperintah oleh Barisan Nasional (BN) selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November
tahun lalu.

Pusat Komuditi Desa (PKD) dulu dikenali Pusat Transformasi Luar Bandar di Sungai Rambai, Jasin, Melaka.

Melalui satu kenyataan daripada Pengarah JPN Melaka, Norazle Sulaiman lewat petang semalam memaklumkan,
cawangan di PKD Sungai Rambai akan ditutup sepenuhnya mulai 1 Julai depan.

Menurutnya, kaunter di pejabat berkenaan beroperasi sehingga 30 Jun ini dan selepas itu semua urusan boleh
dilakukan di Jasin atau mana-mana pejabat JPN.

“JPN mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak khususnya penduduk di sekitar Sungai
Rambai yang telah banyak memberikan kerjasama sejak dibuka pada 2016,” ujarnya.

Pastinya, penutupan JPN adalah satu kerugian besar kepada penduduk sekitar kerana sejak enam tahun lalu,
pusat sehenti ini banyak memberi kemudahan dan keselesaan untuk membuat sebarang urusan tanpa perlu ke
pekan Jasin.

Inisiatif mewujudkan RTC tersebut bertujuan mempercepatkan peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan
rakyat di kawasan luar bandar.

Dulunya, selain JPN, turut beroperasi di sini ialah Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Tenaga Nasional
Berhad (TNB), Jabatan Imigresen, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Jabatan Pertanian Negeri Melaka, Klinik
1Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Amanah Rakyat Melaka dan CIMB Bank.

Tiada usaha untuk menghidupkan kembali RTC atau setidak-tidaknya mengisi semula agensi-agensi kerajaan
dengan tujuan bagi rakyat membuat segala urusan di sini.

Dulu sejak wujudnya, RTC, tempat ini meriah dengan kehadiran orang ramai berkunjung membuat urusan buat
peniaga di sini juga turut ceria mencari rezeki.

Kini kawasan tersebut seperti ‘hidup segan mati tak mahu’. Tiada lagi kunjungan orang ramai, orang yang
berniaga pula boleh dihitung dengan jari.

Kalau hendak melihat kehadiran masyarakat di tempat tersebut perlu mengadakan program-program tertentu
dianjurkan barulah nampak kehadiran orang ramai.

Mungkin Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis ada idea terbaik untuk
menghidupkan kembali Sungai Rambai yang dulunya menjadi tarikan dengan pelbagai produk pelancongan.

Pemilihan Siti Faizah sebagai ADUN baharu disifatkan orang yang berwibawa membawa pembangunan pesat di
kawasan ini seperti mana janji-janji yang dibuat sewaktu menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan
Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu.

Menerusi laman sesawang Majlis Keselamatan negara pada 13 Disember 2021, Siti Faizah berkata, RTC Sungai
Rambai dijangka akan kembali beroperasi semula pada Januari 2022.

Menurutnya, pembangunan dan pengoperasian semula kawasan itu perlu dilakukan bagi memberi kemudahan
khususnya kepada penduduk setempat.

“Sekarang ini kita sedang berbincang dengan jabatan yang terbabit untuk beroperasi semula. Kita cuba
secepat yang mungkin dan paling lewat awal tahun hadapan.

“Majoriti yang kita jumpa (agensi-agensi) ini bersetuju untuk masuk semula tetapi ada beberapa syarat yang
perlu kita ikut,” katanya pada laman sesawang tersebut.

Namun apabila JPN ditutup mulai 1 Julai depan, ini bermakna usaha untuk menghidupkan semula RTC tersebut
sekadar cakap-cakap politik.

Tinggalah Klinik 1Malaysia masih terus beroperasi.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button