Sungai Rambai daerah yang hilang, sejarah mula dipadamkan
Wartawan Suara Merdeka
Jika ingin kenal sesuatu bangsa lihatlah sejarahnya. Sejarah tidak pernah menipu dan sejarah pasti akan
berulang. Kita perlu ambil iktibar daripada perkara yang berlaku disebaliknya.
Kini Sungai Rambai Daerah Kecil di Jasin, Melaka bakal menjadi sejarah. Kepimpinan sekarang tidak lagi berminat untuk memperjuangkan apa diusahakan pemimpin terdahulu.
Bagi mereka, perjuangan terdahulu hanyalah legasi yang tidak akan membawa makna. Justeru, ia perlu dibuang
jauh-jauh.
Monumen Sungai Rambai Daerah Kecil telah ditanggalkan dan dihumban di belakang tandas di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC). Mungkin pada pemikiran mereka, di situlah selayaknya ia dihumbankan.
Ramai yang tidak faham atau buat-buat tidak faham sejarah di sebalik monumen itu. Ia adalah satu manifestasi kegagalan kerajaan terdahulu, Pakatan Harapan (PH) yang gagal untuk terus memperjuangkan status Daerah Kecil.
Kerajaan Pusat ketika diterajui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui mesyuarat kabinet telah meluluskan permohonan untuk menjadikan Sungai Rambai sebagai daerah kecil yang pertama di Melaka.
Malah Najib juga telah menyempurnakan majlis pengisytiharan Sungai Rambai sebagai daerah kecil di RTC
Sungai Rambai pada Mac 2018.
Sungai Rambai diluluskan sebagai daerah kecil sebenarnya berkuat kuasa pada 1 Mac 2017 menerusi surat
rasmi daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Kelulusan itu diberikan apabila RTC Sungai Rambai yang dibangunkan pada 2015 antara yang membawa banyak
perubahan positif kepada daerah kecil itu serta penduduknya, dan ia dilihat terus menjadi pemangkin kepada pembangunan yang lebih pesat.
Selain itu, lima kluster pembangunan khusus dirangka bagi pembangunan jangka panjang Sungai Rambai iaitu
pertumbuhan ekonomi, pendidikan, agama, infrastruktur serta kebajikan masyarakat.
Antara projek mega yang sedang dibina di Sungai Rambai ialah projek Kota Budaya, Aerodrome Sungai Rambai
dan pelabuhan Agro yang boleh menjana dan menjadi pemangkin sosial ekonomi masyarakat daerah kecil itu.
Sungai Rambai merupakan satu daripada lima kawasan Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Jasin ketika itu
segala pembangunan di Sungai Rambai diusahakan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Hasan
Abd. Rahman.
Sewaktu tempoh 22 bulan PH memerintah negara, mereka tidak mahu meneruskan usaha melaksanakan Daerah Kecil
tersebut walaupun ia adalah untuk kepentingan rakyat. Walaupun peruntukan dan waran kakitangan telah
tersedia ada.
Ia dikira legasi kerajaan Barisan Nasional (BN) yang perlu dihapuskan supaya rakyat tidak nampak kebaikan
kerajaan BN ketika itu.
Apabila kerajaan BN mendapat kuasa semula, status Daerah Kecil Sungai Rambai masih berada dalam keadaan
‘stalemate’. Lantaran itu, satu monumen didirikan berupa ‘map point’ dan dengan jelas membawa tanda pagar
#DaerahYangHilang.
Monumen itu bukanlah daripada peruntukan kerajaan, ia didirikan oleh rakyat yang kesal kerana Daerah Kecil
Sungai Rambai tidak direalisasikan penubuhannya.
Selepas Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka, November tahun lalu, seakan angin perubahan baharu akan berlaku
apabila BN memenangi dengan majoriti lebih daripada dua pertiga. BN menang 21 daripada 28 kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Malangnya, di bawah ADUN baharu yang dipilih pada PRN lalu, tidak nampak usaha untuk membangunkan Daerah
Kecil Sungai Rambai masih dalam posisi ‘stalemate’ dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
Memburukkan keadaan, monumen #DaerahYangHilang# telah ditanggalkan dan dihina sebegitu rupa dengan
diletakkan di belakang tandas. Nasibnya hampir pasti mereput ditelan waktu.
Begitu juga dengan papan tanda “Sungai Rambai Daerah Kecil” terletak di persimpangan lampu isyarat di
Parit Putat. Papan tanda itu telah ditanggalkan perkataan “Daerah Kecil”.
Persoalannya, mengapa?. Adakah pemimpin sekarang ini tidak berminat untuk memperjuangkan Daerah Kecil
sepertimana dalam siri jelajah kempennya ketika PRN lalu?
Jika tidak dapat memperjuangkannya, cukuplah mempertahankan apa yang telah diwartakan dan bukannya
memusnahkan sejarah. Apa sebenarnya yang terjadi? Seolah-olah Sg Rambai mengundur setapak ke belakang dan
bukannya maju ke hadapan?
Legasi yang diwariskan oleh pemimpin terdahulu dan harap diperjuangkan oleh pemimpin sekarang nampaknya
terkubur bersama mimpi indah warga Sg Rambai yang mahukan kemajuan dan berubah nasib kepada yang lebih
baik demi anak cucu.
Daerah Kecil hanya tinggal dalam lipatan sejarah dan mahu dipadamkan sama sekali. Kepentingan Daerah Kecil
sudah tidak diperjuangkan. Maka tinggal lah Sungai Rambai sepi dimamah usia.