UTeM ukir kejayaan capai penarafan tiga bintang
Wartawan Suara Merdeka
MELAKA 11 Mei – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengukir kecemerlangan dengan kejayaan
terbaharunya apabila mencapai penarafan tertinggi tiga bintang bagi Energy Management Gold Standard
(EMGS).
Pengiktirafan ini adalah di bawah ASEAN Centre of Energy (ACE) dan di Malaysia ianya diwakili oleh
Malaysia Green Technology and Climate Change Center (MGTC) di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air.
Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr. Massila Kamalrudin berkata, pencapaian itu merupakan kejayaan yang
sangat berprestij sekaligus meletakkan UTeM sebagai universiti pertama dalam Rangkaian Universiti Teknikal
Malaysia (MTUN) yang mencapai tahap tiga bintang.
Menurutnya, kejayaan tersebut sekali gus menjadikan UTeM sebagai universiti yang menjadi rujukan utama
bagi pengurusan tenaga secara komprehensif di seluruh pelosok rantau Asia Tenggara.
Beliau berkata, pengiktirafan berprestij itu adalah kejayaan buat semua warga UTeM yang begitu komited
dalam menjayakan agenda pengurusan tenaga merangkumi pengurusan tertinggi hinggalah ke peringkat segenap
kakitangan dan kumpulan pelajar.
“Pencapaian cemerlang UTeM ini sekaligus turut mengharumkan nama Malaysia di peringkat Asia Tenggara yang sentiasa berusaha memelihara dan memulihara alam sekitar.
“Pada masa yang sama UTeM turut dikenali sebagai institusi pengurusan tenaga cemerlang yang turut menjadi
rujukan bagi sektor awam dan swasta yang lain,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Keselamatan Pekerjaan dan Kelestarian Alam Sekitar (PKA), Prof. Madya Dr.
Musthafah Mohd. Tahir berkata, UTeM tentunya akan mengekalkan momentum dan meneruskan agenda pengurusan tenaga di universiti berkenaan secara konsisten.
Ujarnya, UTeM turut akan melestarikan agenda pengurusan tenaga ini yang mana kami sedia berkongsi
kepakaran dan pengalaman bersama dengan masyarakat di luar sana agar ianya menjadi budaya bersama.