SUARA MERDEKA: Jika Barisan Nasional (BN) mencalonkan semula Wee Jeck Seng bertanding di Tanjung Piai dalam pilihan raya kecil tidak lama lagi, ia ibarat menggali lubang kubur sendiri.
Walaupun dikatakan persetujuan itu dicapai dalam satu pertemuan antara pemimpin parti petang ini melibatkan wakil UMNO, MCA dan MIC, tetapi mereka harus ingat mengapa kira-kira 3,000 ahli UMNO tidak keluar mengundi pada pilihan raya umum yang lalu di kawasan Tanjung Piai.
Ia sebagai protes terhadap calon yang dipilih. Begitu juga 800 undi rosak ia juga mempunyai kaitan dengan calon berkenaan.
Tidak mungkin jentera Pas yang baharu sahaja bersetuju bermuafakat dengan UMNO akan bertungkus-lumus untuk berkempen bagi calon berkenaan.
Memang betul pada pilihan raya lalu Jeck Seng hanya kalah kira-kira 500 undi sahaja, tetapi para pengundi pastinya mahukan calon yang segar dan menggambarkan muafakat Pas dan UMNO dan bukannya wajah MCA yang masih tercari-cari tapak untuk bangkit.
Masih ramai pemimpin MCA yang belum fasih dan mampu menghadam muafakat dua parti Melayu Islam itu. Apatah lagi ahli di peringkat akar umbi yang akan menggerakkan jentera parti.
Jadi jika pada 2 November ini Jeck Seng yang tampil sebagai calon BN, pihak lawan iaitu Bersatu bolehlah tersenyum kerana BN masih lagi tidak dapat membebaskan diri daripada belenggu pemikiran, hirarki dan satus kuo lama.