ADUN Pasir Bedamar mengaku tidak bersalah ambil dadah
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu mengaku tidak bersalah dihadapan Majistret Bukit Mertajam, Nurul Rasyidah Mohd Akit atas pertuduhan penyalahgunaan dadah yang didakwa dilakukannya pada awal tahun 2022.
Berdasarkan pertuduhan, ADUN dari Perak itu didakwa mengambil dadah jenis ‘3-4 methylenedioxymethamphetamine (MDMA)’ yang disenarai sebagai dadah berbahaya di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut laporan daripada Berita Harian, kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah pada jam 12.13 tengah malam, 14 Januari lalu.
Pendakwaan dilakukan Pengarah Pendakwaan negeri Datuk Khairul Anuar Abdul Halim mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 38B akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh yang diwakili peguam Ramkarpal Singh dan RSN Rayer, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dari dua tahun.
Semasa prosiding kes, Khairul Anuar memohon mahkamah menetapkan wang jaminan RM5,000 terhadap Naidu, namun Ramkarpal memohon wang jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya memberikan kerjasama sejak hari pertama ditahan polis.
Justeru Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh serahan dokumen. – BH – SM