Polis Israel Bertempur Dengan Penduduk Palestin Semasa Ramadan
BAITULMAQDIS: Kira-kira 12 orang cedera dan 10 ditangkap apabila penduduk Palestin bertempur dengan polis Israel di luar Kota Lama di timur bandar ini.
Seorang jurugambar AFP berkata, objek dilemparkan ke arah polis yang kemudian bertindak balas dengan menggunakan gas pemedih mata dan bom tangan di hadapan Pintu Damsyik, ketika rakyat Palestin berkumpul selepas solat terawih.
Polis Israel berkata, mereka menahan 10 orang kerana merusuh dan menyerang pegawai hingga menyebabkan seorang anggota polis cedera akibat dibaling botol ke mukanya.
Pihak Bulan Sabit Merah Palestin menyatakan 11 orang cedera dalam pertempuran itu.
Semalam, Menteri Luar Israel, Yair Lapid, melawat lokasi dan bertemu dengan pasukan polis yang mengawal lokasi terbabit.
“Ini adalah tempoh yang tegang, tetapi kami mempunyai pasukan polis yang boleh dipercayai dan saya berbangga dengan pegawai kami,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett, turut bertemu dengan ketua perkhidmatan keselamatan dalaman Shin Bet dan komander tentera Tebing Barat susulan operasi Israel berhampiran Jenin Sabtu lalu.
Dalam operasi terbabit, tiga pejuang Palestin terbunuh dalam pertempuran senjata dengan pasukan khas Israel.
Difahamkan, seramai 11 orang terbunuh dalam serangan di Israel sejak 22 Mac lalu, termasuk beberapa serangan yang dikaitkan atau dilakukan oleh kumpulan DAESH.
Dalam tempoh sama, lapan rakyat Palestin terbunuh, menurut pengiraan AFP, termasuk dua penyerang dalam serangan anti-Israel dan enam orang yang dikatakan oleh Israel telah melakukan serangan atau akan melakukannya.
Ramadan tahun lalu, pertempuran berlaku antara tentera Israel dan Palestin di perkarangan masjid Al-Aqsa timur Baitulmaqdis, menyebabkan konflik dahsyat antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza. – AFP