Berita

Musim harumanis kembali

Bayangkan berbuka puasa di bulan Ramadan kali ini dengan mangga yang harum dan manis. Promosikan kepada syarikat-syarikat korporat di luar sana dan juga dalam Perlis untuk memilih Mangga Harumanis sebagai ‘corporate gifts atau hampers’ eksklusif pilihan untuk dihadiahkan kepada klien-klien utama masing-masing secara terus dari Perlis sempena sambutan Aidilfitri pada kali ini.

Pada masa yang sama, bagi keluarga yang berkemampuan pula jadikanlah buah Mangga Harumanis Perlis sebagai juadah istimewa untuk berbuka puasa dalam bulan Ramadan Al-Mubarak bersama seisi yang tersayang kelak.

Demikian titah cadangan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Majlis Pelancaran Festival Mangga Harumanis Perlis Tahun 2022’ anjuran Jabatan Pertanian Negeri Perlis di Pusat Kecemerlangan Mempelam Harumanis, Pusat Pertanian Bukit Bintang, Jalan Sungai Batu Pahat Perlis pada petang ini.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua ke program bagi mempromosikan dan memaklumkan bahawa permulaan musim Mangga Harumanis Perlis Tahun 2022 telah bermula itu disambut oleh Pengarah Bahagian Pengembangan yang menanggung tugas Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pembangunan Industri dan Pengembangan Malaysia), Johari Abdullah dan Pengarah Pertanian Negeri Perlis Hafizuddin Othman.

Tuanku Raja Muda turut mengucapkan penghargaan kepada pihak Maybank dibawah ‘Program Sama-sama Lokal’ yang banyak membantu pasaran secara dalam talian serta Air Asia yang mengembangkan pasaran ke Sabah dan Sarawak.

Baginda menasihatkan para pengusaha supaya menguruskan tanaman berdasarkan ‘Amalan Pertanian Baik’ bagi memastikan kualiti buah Mangga Harumanis Perlis yang terhasil adalah Gred Premium dan selamat untuk dimakan. Baginda juga menyeru agar semua ladang Mangga Harumanis Perlis untuk memohon persijilan MyGAP dari pihak Jabatan di mana ianya akan meningkatkan lagi kualiti hasil Harumanis Perlis selain diiktiraf hasil berkualiti dan selamat.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga mengharapkan agar para pengusaha melakukan jualan Harumanis dengan penuh jujur.

Menyentuh mengenai harga yang tinggi, baginda menerangkan bahawa musim Mangga Harumanis adalah singkat iaitu antara dua ke tiga bulan sahaja setahun. Jika diteliti berdasarkan kaedah serta kos penanamannya, ternyata harga berkenaan adalah munasabah kerana penjagaan pokok ini amatlah rumit dan sukar.

Malahan, para pengusaha juga terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi ekoran dari masalah kenaikan harga input pertanian yang mendadak berlaku pada masa ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button