Sukan

Mohamad Ali menang tanpa bertanding jawatan Presiden PPM

PUTRAJAYA 27 Mac – Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad menang tanpa bertanding jawatan Presiden Persekutuan Petanque Malaysia (PPM) pada Mesyuarat Agung Dwi Tahunan PPM di Kelab Tasik Putrajaya di sini hari ini.

Mohamad Ali yang juga Presiden Persatuan Petanque Negeri Melaka menang jawatan tersebut selepas penyandangnya, Datuk Ahmad Khirrullah Mansor tidak mempertahankan jawatan tersebut.

Ia selepas PPM mengumumkan tiada calon mengemukakan senarai pencalonan bagi jawatan tersebut pada mesyuarat badan induk itu.

Setiausaha Kehormat Shaiful Nizam Shahrin berkata, turut menang tanpa bertanding ialah jawatan Timbalan Presiden yang disandang Wan Daud Wan Ismail yang juga dari Persatuan Petanque Selangor.

Menurutnya, bagi dua jawatan Naib Presiden pula disandang oleh Datuk Zulkifli Abd Ghani (Kelantan) yang juga penyandang jawatan tersebut dan muka baharu yang terpilih ialah Mejar P. Subarao dari Majlis Sukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mohamad Ali ketika ditemui berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada 16 ahli gabungan PPM dan lima ahli bersekutu kerana telah memilihnya untuk menerajui badan induk itu bagi sesi 2022-2026.

“Insyallah saya akan cuba membawa perubahan baharu dalam PPM berhubung kemelut yang dihadapi dengan The Asian Boules Sport Federation (ABSC) dan Federation International Petanque ET Jeu Provencal (FIPJP),” ujarnya.

Beliau berkata kemelut itu apabila keanggotaan PPM dibatalkan di peringkat Asia oleh ABSC dan dunia melalui FIPJP pada 2019.

Sehubungan itu kata beliau lagi, PPM akan mengadakan rundingan dengan kedua-dua pertubuhan tersebut bagi menerima semula keanggotaan PPM.

“Sebelum itu jawatankuasa kepimpinan baharu PPM yang dilantik akan mengadakan rundingan dengan Malaysia Boules Sport Federation (MBSF) dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) dalam masa terdekat,” ujarnya. – SM

 

(Visited 204 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button