Nasional
Trending

Malaysia Airlines jangan `terlepas pandang’

MALAYSIA AIRLINES tidak harus terlepas pandang laluan-laluan penerbangan lain meskipun memutuskan telah mengelak laluan udara Iraq susulan konflik terbaharu di Asia Barat.

Laluan udara yang dikeluarkan melibatkan penerbangan dua hala untuk destinasi London, Jeddah dan Madinah, antara tindakan pantas diambil syarikat penerbangan negara bagi mengelak berulang tragedi MH 17 di ruang udara Ukraine kira-kira enam tahun lalu.

Berikutan serangan Iran yang melancarkan tembakan roket ke atas dua pangkalan tentera Amerika Syarikat kelmarin rentetan insiden pembunuhan Panglima Tentera Iran, Qasem Soleimani, seluruh syarikat penerbangan termasuk Malaysia Airlines tidak harus pandang ringan risiko laluan ruang penerbangan.

Tragedi nahas MH17 pada 17 Julai 2014 mendedahkan satu kebenaran yang meresahkan iaitu tidak ada standard yang jelas untuk menentukan keselamatan sesuatu laluan penerbangan.

Semasa itu, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mengeluarkan nasihat mengenai kawasan-kawasan yang perlu dielak tetapi tidak mengisytihar laluan penerbangan yang tidak selamat.

Ini menyebabkan syarikat penerbangan mengguna pakai pendekatan jauh berbeza untuk zon konflik tetapi penumpang dibiarkan tertanya-tanya pihak mana yang memastikan keselamatan di ruang udara.

Beberapa minggu selepas nahas MH17, ia menjadi jelas bahawa syarikat-syarikat penerbangan mempunyai pendekatan jauh berbeza di kawasan zon konflik.

Syarikat Lufthansa dari Jerman melintasi ruang udara Ukraine tetapi mengelak bahagian utara Iraq dan Israel.

Qantas dari Australia melintasi ruang udara Iraq tetapi mengelak Ukraine dan Israel. British Airways pula melintasi ruang udara Israel tetapi mengelak Ukraine dan Iraq.

Perbezaan laluan yang digunakan pesawat berlaku kerana syarikat penerbangan tidak berkongsi penilaian risiko dan ini perlu diubah.

Komuniti antarabangsa harus komited untuk berkongsi maklumat risiko penerbangan dalam kalangan syarikat penerbangan, badan penerbangan dan negara.
– SM

(Visited 56 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button