Hiburan

Syeera Mentor Milenia seronok Panggil Sayang

TIDAK terkandas malah berjaya sampai ke pentas akhir dalam program realiti televisyen, Mentor Milenia musim kedua. Cuma protégé kepada Black Hanifah tidak menjuarai program tersebut pada tahun 2017 dan hari ini, Syeera Aziz tidak menoleh ke belakang sebaliknya terus melangkah dengan melahirkan single terbaharunya berjudul Panggil Sayang terbitan Nova Music.

Melihatkan kepada imej yang ditampilkan oleh Syeera atau nama penuhnya, Nur Syaheera Abd Aziz 24, single keduanya, Panggil Sayang ciptaan Shazee Ishak dan Audi Mok, lirik oleh Shazee Ishak, Audi Mok dan penerbit drama, Arisz Ab Rahman mengetengahkan genre pop.

Suntikan sebegitu pada hemat Syeera akan menberi sesuatu yang segar dalam lagu Panggil Sayang selain membawa kelainan jika ada yang membandingkan single kedua ini dengan single pertama.

“Kelebihan yang ada pada lagu ini adalah ia sebuah lagu yang ‘fresh’, lirik dan melodi yang senang untuk pendengar ingat dan ‘sing-along’. Lirik pula yang boleh dikaitkan dengan ramai pendengar.

 

“Dalam masa sama, lagu ini sangat kena dan sesuai dengan trend lagu masa kini yang boleh digunakan untuk kandungan media sosial. Jadi, bagi saya ia sebuah karya yang menarik,” katanya.

Menyedari ‘trend’ industri hiburan tanahair yang mana kebanyakannya lebih gemar menggunakan pendekatan gimik agar sesebuah produk, karya atau naskah itu menjadi tular dan diperkatakan ramai, berbeza dengan Syeera.

Syeera yang merakam single sulung berjudul “Redhakanlah” pada 2018, turut menjadi antara lagu tema drama 100 episod, ‘Cinta Tiada Ganti’ yang ditayangkan di saluran Astro Prima.

Oleh itu, tidak hanya menyanyi, Syeera juga berjinak- jinak dalam bidang lakonan kerana baginya, seni itu tidak terbatas pada satu bidang semata-mata.

Antara drama lakonannya adalah ‘Cinta Tiada Ganti’, ‘Jodoh Jodoh Anisa’, ‘Shah Alam 40K’ dan terbaharu ‘Sihir’.

“Saya memang dari kecil suka menyanyi. Tetapi nak ikutkan zaman sekarang ini setakat menyanyi sahaja, susah.
“Jadi apa salahnya saya mencuba bidang lakonan juga. Mungkin selepas ini mengacara pula,” katanya.

Beliau turut menyifatkan bidang seni ini berlandaskan bakat. Jadi apa saja boleh buat.

“Memandangkan saya masih baharu, jadi tiada masalah untuk bahagikan masa di antara kerjaya nyanyian dan lakonan.

“Insya-Allah mana tahu selepas ini ada peluang untuk mengembangkan lagi bidang seni yang diceburi. Kalau boleh memang nak sibuk,” katanya.

Melangkah masuk ke dunia hiburan, Syeera perlu terima hakikat bahawa tidak semua yang terhampar di hadapan matanya itu, indah.

Pengalaman dihina, dikutuk, menjadi mangsa sindir badan atau ‘body shaming’ membuatkan dirinya memilih untuk tidak menggunakan gimik sebagai tangga dalam menggapai kejayaan.

Syeera memilih platform media sosial sebagai alat pemasaran produk seninya.

“Sebelum ini tak terfikir nak buat ‘marketing’ macam itu. Baik dari segi gimik bukan-bukan atau apa saja. Malah, saya juga tak tahu jika perkara itu boleh menaikkan lagu kita.

“Saya selesa menjadikan platform TikTok sebagai medium untuk mempromosikan lagu ini. Sebab itu saya pilih genre lagu ini.

“Saya belum bersedia untuk dikecam sekali lagi. Pengalaman sebelum ini sangat teruk sehingga menganggu emosi. Kecaman diterima hanya kerana saya sedikit berisi adalah sangat keterlaluan.

“Jadi saya fikir untuk sekarang ini tak perlu nak ulang lagi. Saya takut kalau buat gimik bukan-bukan, lebih teruk saya kena.

“Memang kita tak boleh nak halang apa orang cakap, tapi selagi kita boleh kawal tindakan kita, saya cuba. Tapi, jika gimik yang nak dibuat itu saya boleh terima, saya okay saja,” jelasnya.

Biarpun beralih genre dari balada ke pop, Syeera tetap yakin jika lagu “Panggil Sayang” itu dapat diterima baik pencinta muzik tanahair.

“Saya yakin semua generasi boleh menikmati lagu ini apatah lagi muzik diketengahkan adalah ‘catchy’ dan ‘fun song’. Selain itu saya berharap peminat muzik tempatan boleh mula menerima genre lagu yang berlainan atau baru di Malaysia,” katanya.

Berkongsi mengenai cabaran merakamkan lagu “Panggil Sayang”, Syeera berkata genre pop bukanlah ‘makanannya’.

“Cabaran terbesar sepanjang merakamkan lagu Panggil Sayang adalah sejujurnya genre lagu ini bukanlah genre yang selesa bagi saya. Ia juga bukan genre yang saya minati dan boleh hayati sepenuhnya.

“Saya tetap sahut cabaran walaupun pada mulanya sukar untuk saya fahami dan ikuti ‘mood’ sebenar lagu ini. Dengan bantuan komposer Shazee, dia memberikan kebebasan kepada saya untuk tukar cara nyanyian, cari ‘mood’ yang sesuai dengan tujuan melahirkan penyampaian yang natural datang dari diri saya sendiri,” katanya.

Apa yang pasti, Syeera menaruh harapan besar agar single keduanya ini dapat diterima baik pendengar sekaligus boleh menjadi siulan dan tular. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button