Nasional

Tahniah PDRM, jenayah indeks menurun – Perdana Menteri

PERDANA Menteri menyeru semua rakyat Malaysia sama-sama berganding bahu membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras jenayah sekali gus menjaga kesejahteraan negara.

Datuk Seri Ismail Sabri dalam ucapan sempena perbarisan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 tahun ini berkata tugas kepolisan dalam menangani kes jenayah semakin kompleks, lebih-lebih lagi dengan wujudnya teknologi dan aplikasi media sosial yang disalahgunakan untuk aktiviti jenayah.

“Semua ini menuntut PDRM menanganinya secara tegas, strategik dan berkesan demi memastikan keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara” katanya.

Perdana Menteri sempat menzahirkan ucapan tahniah kepada PDRM kerana momentum kecemerlangan dalam menurunkan indeks jenayah negara.

“Saya dimaklumkan bahawa jenayah indeks bagi tahun 2021 telah menunjukkan penurunan iaitu 52,974 kes berbanding 65,623 kes pada tahun 2020” katanya

Tambahnya, bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini, jenayah indeks turut menurun kepada 8,484 kes berbanding 9,773 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga PDRM atas segala khidmat bakti, keringat dan pengorbanan yang telah dicurahkan demi mempertahankan kedaulatan dan menjaga keamanan negara.

“Saya menghargai peranan dimainkan anggota PDRM sebagai barisan hadapan yang banyak membantu meringankan beban keluarga Malaysia ketika pandemik” ujarnya yang berpuas hati dengan tahap profesionalisme dan kesiapsiagaan yang ditunjukkan anggota PDRM dalam menjalankan tanggungjawab. -SM

(Visited 259 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button