Siswa bakal terima peranti berkualiti tinggi secara percuma awal Jun 2022 – Tan Sri Annuar Musa
PELAJAR atau siswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) bakal menerima manfaat peranti percuma berkualiti tinggi bagi memudahkan urusan pembelajaran, bermula minggu pertama bulan Jun 2022.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dalam satu sidang media hari ini berkata Program Peranti Siswa ini akan memberi keutamaan kepada pelajar miskin atau siswa dari keluarga berpendapatan rendah atau B40.
“Program ini menunjukkan kerajaan prihatin kerana merasakan pemilikan peranti adalah satu kemestian lebih-lebih lagi bagi pelajar di pusat pengajian tinggi” ujarnya
Jelasnya, program ini mampu memberi faedah kepada sejumlah besar anak muda terutama pelajar IPTA, IPTS, Politeknik, Kolej Komuniti, Diploma, Diploma Lanjutan dan Ijazah Sarjana Muda.
Dan program tersebut bakal dikendalikan oleh kementerian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Kementerian Kewangan.
Pihaknnya juga ingin menyegerakan pelaksanaan ini bagi mereka yang layak dan mensasakan pertengahan bulan April tahun ini dapat disiapkan satu kaedah permohonan atas talian bagi memudahkan pengurusan logistik.
“Apabila permohonan-permohonan bulan April dan Mei berjaya ditapis maka fasa pertama roll out akan dilaksanakan seawal minggu pertama bulan Jun tahun ini dan akan membuka permohonan rayuan bagi mereka yang tidak lengkap permohonan atau kes-kes yang tercicir” katanya.
Annuar berkata proses pemilihan progam tersebut akan dilaksanakan dalam dua fasa supaya perlaksanaan program ini dijalankan dengan lebih teliti dan tertib.
“Pelaksanaan program ini akan dipantau dengan teliti dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada pelajar-pelajar di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“SKMM akan membentuk satu unit dengan kerjasama KPT yang akan mengendalikan pengkalan data untuk mendapatkan sejumlah mereka yang layak dan telah pun berada di universiti” jelasnya.
Bagaimanapun, pihaknya juga mencadangkan agar 10% daripada peranti ini akan disimpan untuk agihan kepada kes-kes tertentu seperti pelajar post graduate yang tidak mampu atau yang datang dari keluarga yang betul-betul miskin.
Justeru pihaknya sangat mengalukan kerjasama dari pemimpin tempatan dan pemimpin universiti agar perlaksanaan program ini mampu dijalankan dengan jayanya. — SM