Taman Sakura di Perlis, bukan di Jepun!
SUATU ketika, sebelum kedatangan pandemik Covid-19, ada dalam kalangan kita yang sanggup mengeluarkan belanja semata-mata mahu melihat bagaimanakah rupa bunga sakura.
Mana lagi nak cari bunga sakura kalau bukan di Jepun tetapi itu cerita dahulu kerana kalau hari ini berjalan di Taman Sakura Sungai Perlis, Kampung Tebing Tinggi, Bintong, Kangar, Perlis, anda pasi tenggelam sekejap dalam dunia “Sakura Malaysia”.
Ya begitu asyik dan ralit memerhati bunga-bunganya yang melintuk-lintuk ditiup angina, itulah panorama dan suasana yang dialami oleh sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke Taman Sakura Sungai Perlis.
Taman ini wujud adalah hasil usaha pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis yang mula membina Taman Sakura sekitar 2017.
Hasilnya, nah! Sudah nampak hari ini dan ia adalah suatu yang membanggakan selain daripada memberi peluang kepada peminat bunga sakura untuk mengamati spesis ini secara lebih dekat lagi.
Pokok tecoma atau nama sainstifiknya ‘tabebuia pentaphylla’ yang juga dikenali sebagai “Sakura Malaysia” menjadi penghias sepenuhnya di taman ini.
Barisan pokok-pokok tecoma dalam warna putih dan merah jambu bertambah indah dan cantik apabila kedudukannya berhampiran dengan Sungai Perlis dan berlatarbelakangkan Banjaran Nakawan.
Apa yang menarik, pokok tecoma ini rata-ratanya masih rendah dan sekaligus membolehkan pengunjung melihat dengan lebih dekat bunga-bunganya.
Oleh itu, tidak hairanlah jika ada pengunjung yang mengambil kesempatan menyentuh dan mencium bunga ini yang sememangnya mengeluarkan harumannya yang tersendiri.
Tinjauan SUARA MERDEKA mendapati Taman Sakura ini juga menyediakan kemudahan lengkap seperti taman permainan kanak-kanak, kerusi dan wakaf untuk beristi rehat bagi melepaskan lelah.
Di taman ini turut disediakan kemudahan tandas awam untuk pengunjung jika terpaksa ‘melepaskan hajat’.
Jadi tidak hairanlah jika Taman Sakura ini sering menjadi tumpuan penganjuran majlis-majlis anjuran pihak-pihak tertentu.
Di taman ini jugalah menjadi tumpuan orang ramai termasuklah pasangan pengantin untuk merakamkan foto kerana keindahan tempat ini. – SM