Nasional

Umrah: Bayaran pampasan dilanjut hingga Mac

MELAKA 15 Februari – Seramai 1000 daripada 8,027 jemaah umrah yang tidak dapat mengerjakan ibadah itu
susulan penularan Omicron perlu segera membuka akaun di Lembaga Tabung Haji (TH) bagi memudahkan bantuan saguhati RM1,671 dapat disalurkan kepada mereka.

Bayaran pampasan untuk jemaah terbabit kerana tidak dapat mengerjakan ibadah itu daripada bakal dan mereka
yang terkandas serta mengalami kerugian susulan penutupan sementara pintu sempadan selama sebulan bermula 8 Januari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata, beliau telah
mengarahkan TH untuk melanjutkan tempoh bayaran pampasan tersebut yang sepatutnya tamat Jumaat ini
dilanjutkan sehingga Mac depan.

Menurutnya, Bahagian Komunikasi TH diminta untuk memaklumkan mengenai perkara tersebut ke seluruh cawangan di seluruh negara bagi memudahkan urusan berjalan lancar.

“Bayaran pampasan sepatutnya tamat Jumaat ini tetapi saya minta ia dilanjutkan sehingga Mac depan. Seramai
1,000 jemaah masih belum menerima wang saguhati kerana mereka tidak mempunyai akaun di TH bagi memudahkan wang itu dapat dikreditkan ke dalam akaun masing-masing.

“Saya minta mana-mana jemaah yang ingin menerima pampasan segera buka akaun di TH. Saya telah minta semua cawangan di seluruh negara untuk memudahkan semua urusan bagi mengagihkan bayaran pampasan tersebut,” ujarnya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Multaqa Murabbi Ummah (MMU) yang telah disempurnakan
perasmiannya oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah di
sini.

Kaedah bayaran itu diputuskan dalam mesyuarat antara Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Kewangan dan TH bagi memudahkan urusan.

Mengulas lanjut Idris berkata, kebanyakkan daripada bakal jemaah dan mereka yang terkandas serta mengalami
kerugian tidak mempunyai akaun di TH hingga menyukarkan wang saguhati itu dikreditkan ke akaun masing-
masing.

Mengulas mengenai khidmat 35,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di seluruh negara untuk
diserapkan ke jawatan tetap Idris berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) masih di peringkat
perbincangan dan sedang diusahakan ke arah tersebut.

Beliau memberi jaminan perkara tersebut akan diselesaikan dengan segera walaupun mengambil masa yang agak lama untuk memuktamadkan berhubung perkara tersebut.

“Kekangan yang dihadapi mengenai beberapa perkara yang perlu diselesaikan seperti menyelaraskan masa kerja
guru Kafa, penetapan servis perkhidmatan dan premis yang digunakan,” ujarnya lagi. -SM

(Visited 214 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button