PETALING JAYA: Sebuah kumpulan doktor kontrak menyambut baik keputusan kerajaan membuka lebih 4,000 jawatan tetap untuk pegawai perubatan tahun ini.
Dr Mustapha Kamal dari Hartal Doktor Kontrak (HDK) berkata keputusan itu merupakan perkembangan yang memberangsangkan bagi doktor kontrak.
“Ini adalah perkembangan positif kerana sesuatu lebih baik daripada tiada langsung,” katanya
Bagaimanapun, beliau berkata lebih banyak lagi diperlukan untuk menangani isu yang dihadapi doktor kontrak.
“Masih banyak yang perlu diperbaiki. Sebagai contoh, kriteria pemilihan yang lebih teliti perlu diwujudkan untuk doktor kontrak yang bertanding jawatan tetap,” katanya.
Terdahulu, menteri kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa 4,186 pekerja penjagaan kesihatan secara kontrak akan diserap ke kementerian kesihatan dalam jawatan tetap mulai Jun dan seterusnya.
Beliau berkata jumlah itu akan terdiri daripada 3,586 pegawai perubatan, 300 doktor gigi dan 300 ahli farmasi.
HDK telah menuntut ketelusan dalam kriteria dan pemilihan doktor kontrak bersama-sama dengan faedah yang sama yang diberikan kepada doktor tetap.
Pengumuman Khairy hari ini dibuat selepas beliau mengesahkan bulan lepas bahawa doktor kontrak layak mendapat latihan kepakaran di bawah skim tajaan Hadiah Latihan Persekutuan.
Sebagai sebahagian daripada pengumuman hari ini, Khairy juga berkata Kabinet telah bersetuju untuk membuka sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap untuk doktor setiap tahun dari 2023 hingga 2025. Selain itu, 800 jawatan pakar dan 70 jawatan pakar pergigian akan dibuka setiap tahun mulai 2023.