Serah surat Aku Janji Bajet, KPI tahun 2022 strategi kecemerlangan UPSI
UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) buat julung kalinya mengadakan Majlis Serahan Surat Aku Janji Bajet dan Key Perfomance Index (KPI) Tahun 2022 baru-baru ini bagi memantapkan pengurusan strategik universiti.
Majlis penyerahan yang diadakan di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah itu disampaikan oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, kepada semua Ketua Teras dan Dekan Fakulti.
Beliau berkata, tujuan penyerahan Surat Aku Janji Bajet dan KPI Tahun 2022 dilaksanakan adalah untuk memudahkan semua Ketua Teras dan Dekan melaksanakan tugas berdasarkan kepada KPI Pelan Strategik dan berpandukan kepada hala tuju UPSI yang jelas.
Tambahnya, Bajet 2022 UPSI ini bertemakan “Mendepani Cabaran, Memperkasa Kecemerlangan” adalah berlandaskan kepada KPI Pelan Strategik UPSI, Aspirasi Pengurusan Tertinggi UPSI serta output pencapaian yang berimpak tinggi.
Sementara itu, Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed berkata, penekanan Bajet 2022 UPSI menfokuskan kepada pemerkasaan program akademik dengan meningkatkan kaedah Pengajaran & Pembelajaran (PdP) secara pendigitalan seperti memperkasakan modul-modul Massive Open Online Courses (MOOCs), pembinaan lebih banyak Smart Classroom serta meningkatkan kualiti prasarana ICT seperti perolehan server-server baru dan pembinaan Pusat Data baru dan lain-lain selaras dengan keperluan IR4.0.
“UPSI turut menekankan konsep pembelajaran berdasarkan experiential learning dan workplace learning yang mendedahkan asas keusahawanan kepada para pelajar dari peringkat awal pengajian,” katanya.
Jelasnya lagi, inisiatif pelaksanaan konsep tersebut adalah dengan penubuhan FTV Incorporated (FTV Inc.) yang merupakan Strategic Business Unit (SBU) pertama di UPSI beroperasi dengan perniagaan makanan, hasil pertanian serta fesyen menggunakan kepakaran tenaga pensyarah dan para pelajar Fakulti Teknikal Vokasional (FTV). Inisiatif ini mendedahkan elemen keusahawan dan simulasi pendedahan kerjaya sebenar semasa para pelajar belajar di UPSI.
Tambah beliau, Bajet 2022 UPSI juga memberi penekanan berkaitan aktiviti peningkatan kualiti pendidikan dan usaha mengukuhkan penarafan Ranking/Rating UPSI di peringkat global serta menggalakkan jaringan hubungan strategik dengan pihak industri dan korporat di peringkat tempatan dan antarabangsa supaya dapat melonjakkan UPSI ke tahap yang lebih tinggi di peringkat dunia.
“Bajet 2022 juga memberi penekanan kepada pemerkasaan inisiatif hijau (Green Initiative) terutamanya yang berkaitan dengan United Nations Sustainable Development Goals (UN SDG) turut diberi keutamaan. Pelbagai program dan aktiviti yang menyumbang kepada peningkatan UI GreenMetric Index yang dirancang bagi melestarikan kampus UPSI seperti program penghijauan UPSI dengan tanaman pokok-pokok hijau, buah-buahan dan projek-projek pertanian, rain water harvesting, projek panel solar, smart energy classroom serta memperkasakan program kitar semula di kalangan warga UPSI.
Menurut beliau inisiatif dan penekanan Bajet 2022 menyaksikan UPSI berhasrat memacu kejayaan yang lebih cemerlang pada tahun 2022 ini. – SM