Kedai kampung tetap diperiksa KPDNHEP, elak tipu pengguna
PENIAGA kedai di kampung jangan ingat sesuka hati boleh meletakkan harga barangan jika tidak mahu dihadapkan ke muka pengadilan kerana menipu pembeli.
Ini kerana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan pemeriksaan harga barang bukan hanya ke atas premis di kawasan bandar sahaja tetapi juga kedai-kedai kampung di luar bandar.
Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya, Azman Adam berkata, pihaknya menganggap pemeriksaan ke atas premis di luar bandar tetap mustahak supaya peniaga mematuhi etika perniagaan dan pengguna pula dilindungi.
Azman berkata, dari jumlah pemeriksaan premis di seluruh negara pada setiap tahun, 20 peratus daripadanya telah dilaksanakan di luar bandar.
Bagaimanapun katanya, setakat ini peniaga premis luar bandar masih patuh terhadap undang-undang.
Azman berkata demkian pada media selepas melakukan tinjauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina (TBC) 2022 di Pasar Raya Giant di Kangar, Perlis, hari ini.
Hadir sama Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PDNHEP) Perlis, Norazah Jaapar.
SHMMP TBC ini berkuatkuasa mulai 29 Januari lalu sehingga esok.
Antara pelaksanaan ini melibatkan 12 jenis barangan di bawah kategori ayam, telur ayam dan sayur-sayuran sebagai salah satu langkah jangka pendek kerajaan untuk menstabilkan harga barang dan memastikan keberadaan bekalan di pasaran.
Di samping itu Azman berkata, hasil pemeriksaan ke seluruh negara sepanjang pelaksanaan SHMKM sehingga 31 Januari lalu, sebanyak 39, 675 premis telah diperiksa.
“Sebanyak 688 kes telah diambil ke atas peniaga yang dikesan melakukan kesalahan,” katanya.
Tambah beliau, ia melibatkan tidak mempamerkan tanda harga, gagal menggunakan tanda harga khas dan menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum yang ditetapkan.
Jelasnya lagi, sebanyak 6,066 premis telah diperiksa di seluruh negara pada pelaksanaan SHMMP TBC 2022 sehingga 2 Februari lalu.
Beliau berkata, hanya 11 peniaga dikesan melakukan kesalahan gagal menggunakan tanda khas ke atas barangan terkawal di bawah SHMMP TBC 2022. – SM