Kampung Balik Bukit pula diancam babi hutan
MELAKA 28 Jan. – Belum tertangkapnya sekumpulan babi hutan yang mengganggu penduduk di Kampung Kelongkong, Tanjong Kling, Melaka beberapa hari lalu.
Kini penduduk di Kampung Balik Bukit yang terletak bersebelahan Kampung Kelongkong, kini dihantui pula kehadiran sekumpulan antara dua hingga enam ekor haiwan itu memasuki kebun milik seorang penduduk petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Tanjong Kling, Khairulazni Baharuddin berkata, beliau menerima aduan terbaharu daripada penduduk di Kampung Balik Bukit mendakwa melihat sekumpulan babi berada di kebun miliknya.
Menurutnya, beliau telah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan pihak terbabit akan menghantar sebuah pasukan menembak untuk memusnahkan haiwan tersebut.
“Saya tidak sangka pula babi hutan yang diburu anggota Perhilitan tiga hari lepas rupanya melarikan diri ke Kampung Balik Bukit.
“Baru-baru ini, usaha empat anggota Perhilitan bersenjatakan senapang patah gagal menemui haiwan tersebut di hutan berhampiran Kampung Kelongkong dan usaha ini akan diteruskan lagi,” ujarnya hari ini.
Sementara itu, dalam kejadian petang semalam, seorang penduduk, Supari Rejab, 51, mendakwa melihat enam ekor haiwan itu berkeliaran di kawasan kebun dan belakang rumahnya kira-kira pukul 3.30 petang.
Menurutnya, kehadiran haiwan itu disedari oleh anak-anaknya yang kebetulan berada di belakang rumah berdekatan kebun miliknya.
“Apabila anak-anak menjerit-jerit dan melarikan diri masuk ke rumah, saya lantas keluar dan melihat seekor babi yang besar, itu mungkin ibunya serta dua ekor anak menghampiri belakang rumah,” ujarnya.
Katanya, dia bertindak menghalau haiwan itu ke hutan berhampiran Supari yang juga bekas bilal Masjid Tanjong Kling berkata, selepas menghalau babi tersebut, dia terkejut apabila terlihat satu lagi kumpulan empat ekor haiwan itu berada di kawasan kebun di belakang rumahnya.
Ujarnya, haiwan itu ketika itu cuba merosakkan tanaman pokok pisang dan ubi kayu yang ditanamnya.
Bertindak daripada itu katanya, dia berjaya menghalau haiwan berkenaan hingga melarikan diri berhampiran hutan berdekatan.