Babi Kampung Kelongkong ghaib
MELAKA 26 Jan. – Usaha memburu dan memusnahkan sekumpulan babi hutan yang menggangu penduduk di Kampung
Kelongkong, Tanjong Kling, Melaka, gagal apabila kelibat haiwan itu tidak kelihatan selepas enam jam menjejaki haiwan itu.
Birpun meletakkan umpan bagi menarik perhatian antara lapan hingga 10 ekor babi namun haiwan itu tidak muncul-muncul.
Situasi itu menyebabkan empat anggota Jabatan Perlindungan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersenjatakan senapang patah buntu walaupun menjejakinya sejak pukul 5.30 petang hingga pukul 11.00
malam semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjong Kling, Khairulazni Baharuddin berkata, setelah umpan yang dipasang tidak menarik minat haiwan itu, empat anggota APM mengambil keputusan meredah hutan berhampiran kampung tersebut.
Menurutnya, biarpun seluruh hutan itu diredah tetapi kelibat kumpulan babi itu langsung tidak ditemui.
“Saya dan anggota Perhilitan hairan apabila gagal menemukan kelibat haiwan itu malah tapaknya pun tak nampak seolah-olah haiwan ni dah ghaib
“Sudahlah umpan yang dipasan tidak disentuh, usaha menjejakinya di dalam hutan pun gagal walaupun hampir enam jam operasi memburu dijalankan,” ujarnya di sini hari ini.
Tiga hari lalu, penduduk Kampung Kelongkong gempar apabila sekumpulan babi hutan memasuki kawasan kampung mengejar kanak-kanak yang bermain di luar rumah dan seorang penunggang motosikal.
Malah haiwan itu turut memusnahkan tanaman pisang, nenas dan pokok ubi selain merosakkan pagar seorang penduduk.
Khairulazni berkata, operasi menembak babi tersebut bermula pukul 5.30 petang hingga jam 11.00 malam tetapi tidak ternampak kelibat haiwan itu.
Dia yang menyertai operasi tersebut berkata, empat anggota Perhilitan mula meredah hutan berhampiran hingga ke Balai Polis Tanjong Kling namun usaha untuk menjejaki babi tersebut gagal.
Katanya, setelah hampir tujuh jam operasi memburu dan memusnahkan haiwan tersebut terpaksa dihentikan kira-kira pukul 11.30 malam.
Menurutnya, operasi menembak babi tersebut tersebut akan diteruskan sehingga esok dan jika gagal Perhilitan akan memasang perangkap.