Nasional

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah disyor rehat sementara

Susulan dakwaan gangguan seksual

EKORAN dakwaan gangguan seksual dalam kemelut yang melanda Sistem Kehakiman Syariah Malaysia di mana Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) didakwa terbabit dengan kes tersebut baru-baru ini, Parti Peribumi Perkasa Malaysia (PUTRA) menasihatkan agar Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar direhatkan sementara waktu bagi meredakan sedikit sebanyak ketegangan yang sedang berlaku.

Itu yang dinyatakan oleh Naib Presiden PUTRA, Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir kepada SUARA MERDEKA melalui satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Aziz, cadangan tersebut dibuat berdasarkan dua pertimbangan. “Pertama, selaras dengan Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatetib) 1993; dan kedua, memberi ruang kepada proses siasatan yang lebih cepat dan mudah,” katanya.

Bagaimanapun, kata Dr. Aziz lagi, cadangan tersebut tidak pula membawa maksud Ketua Pengarah JKSM ‘bersalah’.

Beliau berkata, sebaliknya bagi menjaga integriti badan kehakiman agar ia sentiasa dipandang sebagai sebuah institusi perundangan yang berwibawa dan dapat dipertahankan di negara ini sejajar dengan cita-cita meletakkan perundangan syariah sebagai yang terbaik.

“PUTRA tetap dengan pendirian (prinsip undang-undang) yang menjelaskan bahawa  seseorang itu ‘tidak bersalah’ selagi ‘tidak dibuktikan bersalah’ dan setiap orang yang dituduh atau didakwa mempunyai hak untuk menafikan dakwaan yang dibuat ke atasnya,” jelasnya.

Hal ini bermakna PUTRA tidak menolak prinsip ‘berani kerana benar’ yang dipertahankan oleh setiap rakyat Malaysia, katanya.

“Dalam hal ini, PUTRA berpendapat, oleh kerana dakwaan yang dikaitkan itu sedng dalam siasatan, adalah lebih harmoni sekiranya ‘orang yang dikaitkan itu’ direhatkan sementara waktu sehinggalah proses siasatan itu selesai.

“Cadangan ini sangat sesuai untuk menjaga imej JKSM khususnya dan Islam amnya. Ia juga dapat meredakan tekanan-tekanan yang bakal  timbul ekoran daripada keengganan ‘orang yang dikaitkan itu’,” katanya.

Beliau berkata, ‘berehat sementara’ bukan bermakna mengalah kepada tekanan dan ‘bersetuju dengan dakwaan’ sebaliknya ia memberikan ruang yang lebih terbuka kepada proses siasatan dan juga kepada seseorang yang dikaitkan melihat kebenarannya.

Dalam pada itu. Dr. Aziz menegaskan, PUTRA juga berharap agar rakyat tidak sewenang-sewenangnya menbuat spekulasi atau fitnah seolah-olah menganggap individu itu sudah bersalah sedang ia masih lagi dalam siasatan.

“PUTRA berpendirian dengan ‘merehatkan sementara’ Datuk Dr. Nai’m Mokhtar tidak bermakna jawatannya sebagai Ketua Pengarah JKSM ‘hilang’.

“Sebaliknya ia akan kekal apabila ‘kebenaran muncul’ dan imej JKSM akan dapat dipulihkan,” kata Dr. Aziz. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button