Nasional

Serbegeth Singh meninggal dunia ketika sedang berbasikal

BEKAS pemain pertahanan kebangsaan Serbegeth Sigh meninggal dunia ketika sedang berbasikal di sekitar Sunway Iskandar, di Johor pukul 7 malam tadi.

Difahamkan mendiang yang juga antara lagenda bola sepak negara berusia 61 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung.

Juga dikenali sebagai Shebby, mendiang jatuh pengsan dan dipercayai akibat sesak nafas ketika berbasikal.

Kapten Harimau Malaya Aidil Zafuan Abdul Radzak memberitahu media dia ada nampak mendiang berbasikal dengan memakai baju dan basikal putih petang tadi dan sempat melambai tangan kepadanya apabila berselisih di jalan.

“Memang nampak dia kepenatan sedikit ketika itu. Tadi dalam pukul 8 malam saya terima gambar dan berita tentang kejadian itu,” katanya yang juga jiran di perumahan sama dengan Shebby.

Shebby memulakan kerjaya di gelanggang bola sepak sebagai pemain bahagian pertahanan bagi pasukan Johor FA sebelum berpindah ke pasukan bola sepak Kuala Lumpur pada 1983.

Mendiang juga pernah beraksi bagi pasukan Negeri Sembilan FA dan Pahang FA sebelum menamatkan kerjayanya dengan Perak FA pada tahun 1996.

Sejak bersara sebagai pemain kebangsaan, mendiang meneruskan khidmat sebagai jurulatih dan menjadi hos rancangan sukan di Asia.

Bukan sahaja pernah berkhidmat dalam mengendalikan pasukan kebangsaan, bahkan mendiang juga adalah Penasihat Global Blackburn Rovers pada 2012

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp sebentar tadi.

“Ya (meninggal di kawasan Iskandar Puteri). Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah dia terbabas ketika sedang berbasikal.

“Kejadian tersebut juga tiada kaitan dengan sebarang insiden langgar lari,” katanya.

Berita yang tular di media sosial mendakwa Shebby atau nama sebenarnya Serbegeth Singh meninggal dunia kerana mengalami serangan jantung.

Mendiang pernah menyarung jersi Harimau Malaya pada 1982 hingga 1991 dan telah beraksi pada sukan Asia di New Delhi pada 1982, sukan Asia di Seoul pada 1986 dan sukan Asia di Beijing 1990.

Selain itu, Shebby turut berjaya memenangi pingat emas Sukan Asia Tenggara (SEA) Kuala Lumpur pada tahun 1989.

Mendiang yang berasal dari Johor itu turut pernah menyarung jersi Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Beliau turut bergiat aktif sebagai pengulas sukan bola sepak tempatan dan antarabangsa dan pernah menjadi penasihat antarabangsa untuk pasulan Liga Perdana Inggeris, Blackburn Rovers..

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button