Nasional

Sijil Vaksin Palsu: 5 Individu Sedia Jadi Saksi

KUALA TERENGGANU: Lima individu termasuk mereka yang pernah mendapatkan sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu dari sebuah klinik swasta di Marang bersedia menjadi saksi kes berkenaan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata kesemua mereka tampil secara sukarela bagi membantu siasatan kes penjualan sijil vaksinasi itu.

Beliau berkata, setakat ini siasatan berjalan lancar dan pihaknya bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan Terengganu untuk membuat semakan menerusi MySejahtera.

“Lima saksi memberi persetujuan menjadi saksi dalam kes ini yang mana mereka mengaku tidak divaksin tetapi mendapat kad vaksin untuk suntikan pertama.

“Ada antara mereka ini memberi persetujuan melalui telefon dan mengaku baru menerima suntikan pertama dan kita akan buat semakan selepas ini.

“Kita berharap lebih ramai individu tampil secara sukarela bagi membantu siasatan kerana kita tidak mampu mengesan kesemua yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini, hari ini.

Pada majlis hari ini, Senior Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Terengganu yang baharu menerima serahan tugas daripada Senior Asisten Komisioner Norhalid Kimi yang bersara wajib.

Wan Rukman sebelum ini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Pembangunan Kerjaya Jabatan Pengurusan di Bukit Aman.

Media sebelum ini melaporkan polis Terengganu membongkarkan kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu dengan merampas hampir 100 keping kad peringatan (temu janji) vaksinasi.

Kegiatan itu terbongkar susulan serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial yang membawa kepada penahanan suspek pada Sabtu lalu.

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

(Visited 269 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button