JenayahNasional

Taktik bawa keluarga melancong sambil mencuri di Cameron Highlands

Awas kejadian pecah kereta mewah

TAKTIK membawa keluarga melancong sambil mencuri di pusat peranginan di Cameron Highlands terbongkar susulan penahanan tiga pasangan yang memecah masuk sebuah kenderaan mewah dan melarikan wang tunai berjumlah RM260,000 Sabtu lalu.

Bagaimanapun, sepasang pasangan suami isteri yang juga rakan subahat berjaya meloloskan diri.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua suspek dipercayai datang dari Sungai Petani, Kedah, menaiki tiga kenderaan berasingan dan menginap di sebuah pusat penginapan di sekitar Brinchang sejak Khamis lalu.

Katanya, pihaknya menerima tujuh laporan berkaitan kejadian pecah cermin kenderaan dan kehilangan barang berharga di sekitar Cameron Highlands dalam tempoh tiga hari, bermula 6 hingga 8 Januari lalu.

“Kejadian terbaharu pada pukul pukul 10.50 malam Sabtu lalu melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dengan cermin belakang pemandu dipecahkan suspek selain turut melarikan wang tunai berjumlah RM260,000.

“Bertindak atas maklumat pada 8 Januari, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands berjaya menangkap tiga lelaki dan tiga perempuan di salah sebuah pusat penginapan di sekitar Brinchang pada pukul 11.40 malam,” katanya menurut laporan Kosmo.

Ramli berkata, ketika serbuan dilakukan, kesemua suspek bersama ahli keluarga mereka sedang bersiap untuk melarikan diri namun berjaya ditahan di tempat letak kereta di mana mereka menginap.

“Bagaimanapun sepasang suami isteri bersama suspek utama berjaya melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menemui wang tunai RM260,000 disorokkan dalam kawasan sampah di blok mereka menginap selain merampas perkakas untuk memecah kenderaan bersama satu anak kunci gari.

Katanya lagi, polis turut merampas empat peket plastik berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 34.74 gram bersama satu peket plastik berisi ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja seberat 4.2 gram.

“Kita turut merampas pelbagai jenis barang kemas termasuk tiga keping emas, 10 buah telefon bimbit, beg sandang warna hitam mengandungi wang tunai berjumlah RM3,843 serta sebuah kereta jenis Perodua Myvi warna putih,” ujarnya.

Ramli berkata, kesemua yang ditahan disiasat mengikut beberapa akta antaranya Seksyen 379 Kanun Keseksaan. iaitu mencuri yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda.

“Siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan memiliki dadah.

Katanya, suspek ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 12 Januari bagi tujuan siasatan manakala usaha untuk mengesan dan menangkap rakan sejenayah yang masih bebas sedang giat dijalankan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button