Ekonomi

MYWiT bantu proses pengambilan tenaga kerja bagi syarikat di Sabah, Sarawak

MENURUT laporan Petikan Bakat Digital Malaysia Suku 2, 2021, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC),  lebih separuh daripada bakat digital di Malaysia tertumpu di Kuala Lumpur dan Selangor, berikutan peluang pekerjaan dan kemudahan fasiliti di dua negeri ini, sekali gus menyebabkan kekurangan bakat
terlatih di negeri-negeri lain.

Kekurangan bakat teknologi telah menjadi masalah besar kepada syarikat digital tempatan, terutamanya syarikat yang tidak beroperasi dikedua-dua negeri ini, di mana pertumbuhan mereka akan terhad disebabkan jurang kemahiran dan ketidakpadanan digital.

“Dalam usaha untuk mewujudkan masyarakat digital yang inklusif, satu inisiatif yang merangkumi semua aspek perlu dibangunkan untuk memastikan adaptasi digital sampai kepada semua lapisan masyarakat serta membantu dalam pengagihan dan pertumbuhan ekonomi yang saksama.

“Melalui program MDEC seperti MyDigitalWorkforce Work in Tech (MYWiT), kami berusaha untuk membantu rakyat meningkatkan kemahiran digital mereka, membolehkan akses kepada lebih banyak pekerjaan bergaji lumayan dan memudahkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menjadi pemacu
ekonomi digital Malaysia,” kata Mahadhir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif, MDEC.

Syarikat yang berpusat di Kuching, Karuna (Sarawak) Enterprise Sdn Bhd, turut menghadapi situasi kekurangan tenaga kerja ketika syarikat berkenaan bersedia untuk melabur dan mengembangkan perniagaan.


Karuna ialah sebuah syarikat reka bentuk kreatif yang berpusat di Sarawak dan memiliki beberapa pejabat jualan yang beroperasi di Kuala Lumpur, Singapura dan Australia.

Ketika ini, syarikat berkenaan mempunyai tenaga kerja seramai 30 orang.

“Kami menghadapi kesukaran dalam mencari pekerja yang mempunyai set kemahiran khusus yang penting untuk barisan perniagaan kami, termasuk mahir dalam bahasa pengekodan seperti React Native, React JS, Next.js dan Flutter,” kata Jonus Ko, Pengurus Pembangunan Perniagaan Karuna.

Tambah beliau, ketika ini syarikat teknologi bersaing untuk menggaji tenaga kerja yang mempunyai kemahiran yang padan dengan keperluan asas perniagaan mereka, kerana bahasa pengekodan seperti ini mendapat permintaan tinggi, tetapi tidak ramai yang berjaya mengusainya.

“Kami telah cuba mencari pekerja melalui iklan dalam talian atau media cetak, pemasaran word of mouth dan juga mendapatkan khidmat agensi pekerjaan untuk mencari individu tempatan di Sarawak dan seluruh Malaysia.

“Kami juga menggunakan perkhidmatan teknikal luar negara secara kontrak untuk projek kami, tetapi penyelesaian ini amat mahal dan tidak mampan untuk jangka masa panjang,” katanya.

Jonus berkata, dengan memohon insentif MYWiT, Karuna telah berjaya menangani isu pengambilan tenaga kerja digital melalui program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula yang disyorkan oleh MYWiT.

Diperkenalkan di bawah Kumpulan Wang COVID-19, program subsidi tersebut melibatkan dana sebanyak RM100 juta daripada Kementerian Kewangan (MoF) untuk menyokong Gerakan #MyDigitalWorkforce MDEC.

Ia bertujuan untuk memberi insentif kepada majikan untuk mengambil warga Malaysia yang menganggur melalui latihan dan subsidi gaji.

Faedah insentif ini juga dikongsi bersama dengan pengambilan baharu Karuna, iaitu Goh Wei Ying.

Beliau adalah graduan Sains Komputer daripada cawangan antarabangsa Swinburne University of Technology Melbourne, Australia di Sarawak.

“Memandangkan saya seorang graduan baharu, saya tidak mempunyai banyak pengalaman bekerja dalam bidang berkaitan IT, kecuali menjadi pelatih di sebuah syarikat hartanah. Selepas menamatkan pengajian, saya mula mencari pekerjaan berkaitan IT di pelbagai platform pencarian kerja.

“Saya dapati tiada banyak pilihan pekerjaan kerana kebanyakan lokasinya bukan di Kuching atau mengharapkan calon berpengalaman. Selain itu, kekurangan keperluan teknikal tertentu yang dinyatakan oleh syarikat pekerja juga menghadkan lagi pilihan yang ada,” katanya.

Selepas berjaya melepasi temu duga dengan Karuna, Goh telah diperkenalkan dengan program MYWiT yang membolehkannya mendapat pekerjaan sekurang-kurangnya selama 12 bulan, serta menimba lebih banyak pengalaman dan pengetahuan.

Insentif MYWiT telah banyak membantu Karuna dalam mendapatkan bakat baharu yang boleh dikembangkan dan dibangunkan oleh syarikat melalui peningkatan kemahiran teknologi yang dicari dan kemahiran digital yang ditetapkan oleh industri.

Untuk memohon insentif MYWiT, sila layari https://mdec.my/mywit/.

(Visited 59 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button