Bank Rakyat tawar moratorium enam bulan kepada mangsa banjir
BANK RAKYAT menawarkan kemudahan kelonggaran bayaran ansuran pembiayaan atau moratorium sehingga enam bulan kepada pelanggannya yang terjejas akibat banjir bermula semalam.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan, inisiatif yang dilakukan oleh Bank itu bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan ditanggung pelanggan yang terjejas akibat banjir dan pada masa yang sama berdepan dengan kekangan kewangan akibat pandemik COVID-19.
“Bank Rakyat sentiasa komited membantu semua pelanggan kami yang terjejas, seiring dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia’ dan kami berharap bantuan ini dapat membantu melegakan mereka yang bimbangkan komitmen kewangan ketika waktu yang mencabar ini.
“Justeru, pelanggan Bank Rakyat yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan pembayaran pembiayaan bagi produk yang dilanggan boleh memohon bantuan moratorium ini.
“Ini termasuk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan penangguhan bayaran keuntungan bagi Pajak Gadai-i,” katanya.
Pelanggan individu dan perusahaan mikro boleh memohon bantuan moratorium melalui e-mel [email protected] dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan dan salinan bil utiliti yang mengesahkan alamat pelanggan.
Manakala, pelanggan PKS boleh terus menghubungi Pusat Perniagaan Perusahaan Kecil Sederhana dan Koperasi (SME & Cooperatives (SMEC) Business Centre) bagi mendapatkan bantuan.
Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh layari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my, hubungi Pusat Panggilan di talian 1300 800 800 dan mengunjungi cawangan Bank Rakyat atau Susulan Berpusat Wilayah berdekatan dengan mengikuti media sosial rasmi Bank Rakyat untuk mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa.
Sebelum ini, Bank Rakyat juga mengumumkan pelbagai bantuan moratorium untuk membantu pelanggannya seperti Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) serta Moratorium Banjir pada awal tahun ini. – SM