Nasional

MAN setuju warta rizab tanah kerajaan untuk takungan banjir, rizab sungai

Majlis Air Negara (MAN) setuju kertas pertimbangan bagi mewartakan rizab tanah Kerajaan untuk pengekalan kolam takungan banjir dan rizab sungai.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Ketiga MAN 2021 secara maya hari ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya kepesatan proses perbandaran negara menyebabkan banjir kerap berlaku ketika hujan lebat.

“Gangguan kepada fasiliti atau komponen ini akan menjejaskan keseluruhan sistem tebatan banjir yang merangkumi komponen utama sungai dan kolam takungan banjir.

“Cadangan pewartaan perizaban tanah kerajaan adalah bertujuan untuk memastikan pengekalan fungsi kolam takungan banjir dan rizab sungai, menjamin kualiti sumber air bersih dan juga memulihara alam sekitar,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan.

Mesyuarat MAN menekankan bahawa negara perlu memberi perhatian serius terhadap impak peningkatan suhu global melebihi 1.1 darjah celsius yang mengakibatkan musim kering dan kekerapan kejadian banjir.

Mesyuarat menyarankan supaya tindakan mengambil kira faktor kesan perubahan iklim dilaksana segera dalam perancangan pembangunan supaya negara dapat mengelak peningkatan kerosakan harta benda dan juga
kehilangan nyawa pada masa hadapan.

Turut dipersetujui oleh mesyuarat berkenaan adalah kertas pertimbangan Aras Lindung Selamat Reka Bentuk Infrastruktur Pantai Akibat Kesan Perubahan Iklim dan Kenaikan Aras Laut.

Menurutnya, fenomena perubahan iklim dan kenaikan aras laut yang sedang dan akan terus berlaku bakal menyebabkan kejadian ekstrim seperti banjir, musim kering, kenaikan aras laut dan pusuan ribut yang berisiko menyebabkan bencana kepada kawasan pesisir pantai.

Tindakan dan adaptasi aras lindung pantai bagi jangka pendek, sederhana dan panjang melalui kaedah struktur atau penyelesaian berasaskan alam semula jadi perlu mengambilkira faktor perubahan iklim dan kenaikan aras laut dalam perancangan dan pembinaan.

Ini supaya aras lindung pantai tersebut mampu menangani bencana ekstrem bagi mengurangkan impak bencana dan menjamin kelestarian sosio-ekonomi dan pembangunan negara.

Selain itu, mesyuarat tersebut juga turut bersetuju dengan kertas pertimbangan Kerjasama Pelaksanaan Inisiatif Air Pulih Guna antara Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. dengan Syarikat Operator Air Negeri.

Inisiatif Air Pulih Guna bertujuan mengoptimumkan sumber air negara sedia ada dan menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar melalui konsep ekonomi kitaran dalam menguruskan sumber air negara.

Penyediaan sumber air baharu untuk kegunaan industri bukan makanan adalah salah satu strategi oleh Kerajaan sebagai langkah pemulihan dan pemeliharaan sumber air selain peluang mewujudkan sumber pendapatan
tambahan Syarikat Operator Air.

Selain itu, mesyuarat turut menegaskan agenda transformasi sektor air yang bermula di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 sehingga Rancangan Malaysia Ke-15.

Agenda ini akan menjadikan sektor air sebagai pemboleh daya ekonomi serta penjana pertumbuhan yang dinamik menjelang tahun 2040.

Menurut Ismail Sabri, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah amat penting dalam memastikan agenda transformasi tersebut berjaya.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button