Politik

Kelulusan RUU MA16 menggambarkan semangat ‘kesatuan dalam perbezaan’ – PM

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggambarkan kejayaan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai semangat ‘kesatuan dalam perbezaan’ yang beliau maksudkan selama ini.

Beliau berharap RUU yang diluluskan oleh Dewan Rakyat semalam memberi peluang kepada Keluarga Malaysia di Sabah dan Sarawak untuk merasai semua manfaat dan kebaikan.

Ismail Sabri yang gembira dengan kejayaan tersebut mengucapkan tahiah kepada Ahli Parlimen yang menyokong pindaan RUU yang mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

“Sejarah tercipta! Dengn izin Allah SWT, usul Pindaan Perlembagaan berkenaan definisi negeri-negeri dalam Persekutuan melibatkan Sabah dan Sarawak, MA63 telah mendapat kelulusan sebulat suara penyokong kerajaan dan pembangkang yang hadir dalam Dewan Rakyat iaitu sebanyak 200/200 dengan 20 tidak hadir.

“Sekalung tahniah dan penghargaan buat Ahli Dewan Rakyat yang telah menyatakan sokongan terhadap usul ini. Inilah semangat kesatuan dalam perbezaan yang saya maksudkan selama ini. Semoga Keluarga Malaysia kita di Sabah dan Sarawak dapat merasai semua manfaat dan kebaikannya, insya-Allah,” katanya.

(MA63) diluluskan Dewan Rakyat setelah memperoleh sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen semalam. Parlimen memerlukan majoriti dua pertiga untuk meminda Perlembagaan. Dua kali proses undi belah bahagian dilakukan, iaitu pada bacaan kedua dan ketiga RUU itu.

Menurut rang undang-undang itu, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dicadang dipinda dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-negeri Persekutuan terdiri daripada: (a) Negeri-negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu dan (b) Negeri-negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, pindaan turut dicadang pada Fasal 2 Perkara 160 Perlembagaan dengan memasukkan takrif Hari Malaysia dan menggantikan takrif Persekutuan selaras semangat Perjanjian Malaysia bertarikh 9 Julai 1963 dan menurut perjanjian berhubung pemisahan Singapura daripada Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat bertarikh 7 Ogos 1965.

Selain itu, RUU itu juga bertujuan meminda Perkara 161A Perlembagaan dengan menggantikan perenggan (a) Fasal 6 iaitu “berhubung dengan Sarawak, seseorang yang warganegara dan yang tergolong dalam salah satu daripada ras dinyatakan dalam undang-undang negeri sebagai ras asli bagi negeri itu” serta memotong Fasal 7.-SM

(Visited 476 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button