Pelajar Islam dipaksa solat di luar, pihak sekolah mohon maaf
SEBUAH sekolah telah tampil memohon maaf selepas sebuah video yang menunjukkan murid lelaki islam solat di luar dalam keadaan cuaca sejuk.
Video tersebut menunjukkan lapan pelajar lelaki Oldham Academy North sedang solat di kaki lima sekolah dengan diawasi oleh seorang kakitangan sekolah tersebut.
Perkara ini telah menimbulkan kemarahan orang ramai kerana layanan kepada pelajar sekolah tersebut dirasakan menjijikkan dan menyusahkan.
Selain itu, orang ramai turut berasa marah selepas didakwa seorang guru wanita telah menendang keluar murid-murid tersebut dari bilik darjah.
Menurut laporan Asian Image, seorang murid yang terlibat dalam kejadian tersebut berkata mereka sedang solat Jumaat dan seorang guru masuk dan memberitahu kami tidak dibenarkan solat di dalam bilik tersebut lalu dia menghempas pintu dan kelihatan marah.
Namun, Oldham Academy North berkata murid tidak dibenarkan solat di dalam kerana banjir teruk menyebabkan 15 bilik darjah terpaksa ditutup akibat kerosakan.
Pihak sekolah tidak menyediakan surau alternatif maka murid-murid terpaksa keluar untuk menunaikan solat.
“Kami ingin memohon maaf atas kejadian tersebut. Kami berbangga dengan kepelbagaian kami dan kami tidak akan menghalang pelajar daripada solat atau meminta mereka solat di luar.
“Kami sentiasa berusaha untuk menyediakan kemudahan solat yang sesuai di akademi dan kami bekerjasama dengan Oldham Interfaith Forum dan Oldham Council untuk menangani kebimbangan yang ditimbulkan oleh isu ini.
“Di The Oldham Academy North, kami menganggap kepelbagaian kami sebagai kekuatan terbesar kami. Kami akan sentiasa melakukan segala-galanya untuk memastikan pelajar, kakitangan dan komuniti kamu diberi peluang terbaik dalam hidup,” kata jurucakap Oldham Academy North. -SM